TPM: Redzuan, Yeo berdebat secara sihat
Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dua menteri yang dilihat bertentangan pendapat berhubung isu Lynas mempunyai bidang kuasa masing-masing untuk mengulas mengenainya.
Kata timbalan perdana menteri lagi, apa yang berlaku di antara Yeo Bee Yin dan Mohd Redzuan Yusof juga merupakan satu "perdebatan sihat".
Sebelum ini Mohd Redzuan mendakwa pendirian Yeo berhubung Lynas tidak mendapat sokongan kabinet.
Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata demikian merujuk kenyataan Yeo yang menegaskan sisa Water Leached Purification (WLP) dari kilang Lynas perlu dihantar keluar dari negara ini.
"Keputusan kabinet jelas, iaitu membenarkan Lynas terus beroperasi. Soal sisa (kilang Lynas) adalah perkara lain yang perlu ditangani.
"Tiada keputusan bersama yang dibuat kerajaan untuk menghantar sisa itu ke Australia," katanya pada Isnin lalu.
Sehari kemudian Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh pula menempelak Mohd Redzuan dan menganggap anggota parlimen Alor Gajah itu tidak mempunyai locus standi untuk bercakap mengenai Lynas.
PM akan tentukan
Sebaliknya Fuziah berkata isu kilang nadir bumi itu terletak bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang diketuai Yeo.
Hari ini Utusan Malaysia memetik Mohd Redzuan sebagai berkata Fuziah dan beberapa anggota parlimen DAP termasuk Yeo perlu ‘disekolahkan’.
Beliau berkata demikian selepas beberapa pemimpin PH mengarahkannya menutup mulut daripada memberi komen mengenai Lynas.
Kata Wan Azizah, Mohd Redzuan bercakap dari aspek pelaburan Lynas, manakala Yeo pula melihat isu berkenaan dari segi pengurusan sisa bahan nadir bumi oleh kilang itu.
"Dalam mempertimbangkan Lynas, kita mahukan pelaburan dan pengukuhan ekonomi, dan dari sisi lain kita melihat kepada aspek pencemaran.
"Kerajaan sudah menetapkan keperluan kepada Lynas untuk menguruskan sisa buangan sebagai syarat apabila mereka masuk ke negara ini.
"Jadi menteri terbabit melakukan perdebatan sihat bagi mendapatkan pendekatan terbaik kepada negara," katanya kepada media di lobi parlimen hari ini.
Bagaimanapu, berbeza daripada dakwaan Mohd Redzuan, Wan Azizah berkata kabinet belum membuat sebarang keputusan sama ada akan membenarkan Lynas terus beroperasi atau sebaliknya.
Katanya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu isu berkenaan akan ditentukan di peringkat kabinet tidak lama lagi selepas semua aspek diteliti.

