Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Streram mahu Klinik Kesihatan Rantau dibuka pada cuti umum

PRK RANTAU | Calon Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Dun Rantau, Dr S Streram mahu berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan bagi membolehkan klinik kesihatan di pinggir bandar itu dibuka pada hari kelepasan am.

"Kalau klinik kesihatan di bandar besar nak cuti umum tak apa. Penduduk masih boleh datang hospital berhampiran. Tapi, bandar-bandar kecil seperti Rantau kena buka setiap hari.

"Kalau di sini klinik ditutup, mereka kena pergi ke Seremban. Itu (memakan masa) hampir 40 minit. Kalau ada pengangkutan tak apa. Yang tidak ada macam mana?"

"Jadi, saya nak bincang tentang SOP (Prosedur Operasi Standard) dengan kementerian kesihatan," katanya dalam sidang media yang diadakan di hadapan klinik kesihatan Rantau hari ini.

Terdahulu, seorang pekerja kilang mengadu kepada Streram kerana terpaksa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban kerana klinik kesihatan ditutup hari ini akibat cuti sempena sambutan Israk Mikraj.

J Kalidass, 28 berkata dia berasa pening dan muntah tetapi terpaksa menunggang motosikal untuk ke hospital berkenaan.

Seorang lagi penduduk, S Surendran pula mendakwa klinik kesihatan yang ada sekarang tidak beroperasi pada hari biasa ketika dia menghantar bapanya yang mengalami sesak nafas 24 Januari lalu.

Surendran berkata, ekoran itu bapanya terpaksa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan meninggal dunia selepas dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) empat hari kemudian.

"Saya diberitahu oleh doktor semasa di HTJ, keadaan bapa saya bertambah buruk kerana dibawa lambat ke hospital. Saya percaya sekiranya beliau diberi rawatan di klinik kesihatan kemungkinan besar beliau masih hidup," katanya.

Sementara itu, Streram berikrar akan memastikan klinik kesihatan Rantau dinaiktaraf walau apapun keputusan pilihan raya kecil berkenaan.

"Saya membawa isu ini kepada Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan satu penyelesaian muktamad.

"Kalau boleh kita nak bina yang baru. Saya juga berjumpa dengan Menteri Besar untuk berbincang berkenaan tanah bagi cadangan membina klinik kesihatan yang baru," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS