Sepasang suami isteri yang bergelar Tan Sri dan Puan Sri dikenakan perintah tahan reman sehingga pukul 5 petang ini kerana didakwa mendera tiga pembantu rumah warga asing di sebuah banglo di Kajang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kedua-dua suspek ditahan pukul 8 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

“Kedua-dua mereka telah dibawa ke Mahkamah Kajang pada hari ini untuk mendapat permohonan reman sehingga pukul 5.00 petang tarikh yang sama (3 April) oleh Majistret Mahkamah Kajang, Nor Afidah Idris,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam pihak polis turut merakam percakapan kesemua mangsa wanita berusia dari 25 dan 41 tahun itu yang kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan.

Jumaat lepas, tiga wanita itu mendakwa ditampar dan ditumbuk majikan mereka yang bergelar Tan Sri dan Puan Sri di sebuah banglo lalu bertindak melarikan diri untuk mendapatkan pertolongan di kedutaan mereka.

- Bernama