Rafidah nafi bincang isu MAS di Parlimen
Kehadiran Pengerusi AirAsia X, Rafidah Aziz ke Parlimen hari ini menarik perhatian pengamal media.
Bagaimanapun, ketika ditemui selepas hampir dua jam berada di bangunan Parlimen, Rafidah menafikan kehadirannya mempunyai kaitan dengan usaha untuk menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS) yang berdepan masalah kerugian.
“Tak usah cerita tentang MAS lah, kita cerita Air Asia sahaja, Air Asia lagi banyak cerita.
“Air Asia, Air Asia. Tiada kaitan dengan MAS. Adik-beradik pun tidak,” kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.
MAS sebelum ini bergelut menerima tamparan hebat apabila pada 2014, dua pesawatnya terhempas.
Penerbangan MH370 masih hilang manakala Penerbangan MH17 ditembak di ruang udara Ukraine.
MAS kemudiannya dibubarkan dan diambil alih oleh Khazanah Nasional Bhd sebagai sebahagian daripada pelan menyelamat.
Khazanah kemudian menyuntik sejumlah RM6 bilion kepada MAS, dengan separuh daripadanya terpaksa dilupuskan.
Pelupusan itu yang merangkumi kira-kira separuh daripada kerugian Khazanah pada 2018, menyaksikan dana kekayaan negara mencatatkan kerugian.
Sementara itu diminta mengulas penjualan kapal persiaran mewah Equanimity, Rafidah yang juga merupakan anggota Majlis Tindakan Ekonomi berkata beliau menyambut baik keputusan kerajaan itu.
“Baguslah, tapi itu bukan urusan kita sebab saya bukan dalam kerajaan,” katanya.

