Projek STS di luar perairan Johor, kata pengerusi
Projek hab pemindahan kapal ke kapal (STS) yang kini menjadi pertikaian antara Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan kerajaan persekutuan terletak di luar kawasan perairan Johor, kata Pengerusi KA Petra Sdn Bhd Shahrul Amirul seperti dilapor media.
Jelas Shahrul, hab itu akan ditempatkan lebih 3.5 batu nautika dari pesisir pantai, yang merupakan kawasan di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.
"Operasi STS di situ di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan pihak pentadbir kawasan itu adalah Jabatan Laut," katanya dipetik The Edge.
KA Petra mempunyai 70 peratus kepentingan dalam projek berkenaan, sementara selebihnya dipegang Hutchison Port Holdings Ltd.
Projek berkenaan dikatakan bernilas AS$150 juta hingga AS$180 juta (RM612 juta hingga RM735 juta). Ia dikatakan akan menjadi hab STS paling besar dunia, merangkumi keluasar 3,000 ekar.
Tunku Ismail sebelum ini menuduh kerajaan pusat tidak memaklumkan projek berkenaan kepada kerajaan Johor dan mendakwa perjanjian projek itu dilakukan secara rahsia.
Menteri Besar Osman Sapian sebelum ini juga mengaku tidak tahu menahu berhubung projek itu. Tunku Ismail mendakwa ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga tidak maklum berhubung projek berkenaan.
"Putrajaya telah melakukan dua perkara yang tidak mengikut perlembagaan.
"Pertama adalah berkenaan dengan Projek STS di perairan Johor.
"Tuanku Sultan Johor dan saya sendiri tidak maklum berkenaan projek ini. Menteri besar juga tidak tahu berdasarkan rakaman suara yang disertakan..." kata Tunku Ismail.
Tunku Ismail juga menegaskan bahawa apa sahaja yang berada di dalam jarak tiga batu nautika di perairan Johor terutama sekali perkara berkenaan tanah dan air adalah hak mutlak negeri.
"Adakah Putrajaya cuba untuk mengambil alih kuasa negeri?" soalnya.

