Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata kapal layar mewah Equanimity masih boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan membabitkan penyelewengan dana 1MDB meskipun ia sudah dijual.

Jelas Hanipa, mahkamah boleh mengeluarkan sapina ke atas pemilik baru kapal mewah itu, sekiranya perlu untuk tampil di mahkamah.

“Jika Equanimity sudah dijual, mahkamah boleh sapina pembeli untuk hadir membawa dokumen berkaitan kapal mewah itu sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

“Ada mekanisme untuk pihak pendakwa raya melaksanakan perkara itu. Tidak bermakna kalau ia sudah dijual, maka tidak boleh lagi dijadikan bahan bukti. Masih boleh dipanggil, tak ada masalah.

“Mereka juga boleh gunakan bukti berdokumen. Ia bergantung pada persetujuan antara pendakwa raya dan peguam bela,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian diminta mengulas penjualan kapal layar itu yang dikatakan bahan bukti dalam perbicaraan membabitkan 1MDB.

Ditanya sama ada Equanimity akan dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak, Hanipa berkata: “Saya tak pasti, setakat ini belum ada perbicaraan. Perbicaraan (Najib) baru bermula hari ini."

Terdahulu, Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan memaklumkan penjualan kapal Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd (Genting) atau Syarikat Tujuan Khas (SPV) miliknya.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun penilaian harga pasaran Equanimity oleh Winterbotham sebanyak AS$130 juta (RM530 juta) tidak dicapai, pulangan bersih kepada kerajaan Malaysia ialah yang sebaiknya, kalaupun tidak lebih baik daripada yang dijangkakan.

Genting Malaysia Bhd turut mengesahkan pembelian Equanimity bersama bunker, bahan api, pelincir dan barangan sedia ada di atas kapal mewah itu dengan pertimbangan harga AS$126 juta (RM514.6 juta).