Syarat baru CLP tak dibincang dengan JPM, kata Hanipa
Keputusan menukar syarat bagi pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) bermula 2021 tidak dibincangkan dengan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), kata Hanipa Maidin.
Jelas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkembangan berkenaan.
“Saya tahu terdapat beberapa perbezaan tapi kami tidak dibawa berunding mengenai isu ini (UEC).
“Jadi, sangat pramatang untuk membuat kenyataan (berhubung isu itu),” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.
Hanipa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang, Tommy Thomas Jumaat lalu yang memaklumkan penukaran syarat bagi pemegang UEC menduduki CLP bermula 2021.
Dalam kenyataan itu Thomas yang juga peguam negara berkata pemegang UEC perlu lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat SPM atau O-Level atau yang setaraf.
Sebelum ini, lembaga berkenaan pada 5 Jun tahun lalu memutuskan bahawa syarat menduduki PSAG bagi pemegang sijil kelayakan UEC adalah perlu memperoleh sekurang-kurangnya tiga kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); atau lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran di peringkat STPM / A-Levels.
Kenyataan Thomas itu dianggap melangkau kuasa kabinet dan Pasukan Petugas Khas Dasar UEC (PPDUEC) yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan untuk melakukan kajian berkenaan pengiktirafan UEC.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Abdul Fareed Abdul Gafoor hari ini menegaskan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) sudah mengiktiraf lulusan UEC untuk menduduki CLP sejak sekurang-kurangnya 20 tahun lalu.

