Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pernyataan pembukaan AG: Adalah menjadi tugas dan keistimewaan saya...
Diterbitkan:  Apr 3, 2019 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Pihak pendakwaan akan membuktikan Najib Razak menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan bagi dirinya suapan sebanyak RM42 juta.

Dalam pernyataan pembukaan, Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib terlibat secara langsung dalam keputusan pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion yang diterima oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

"Oleh itu, adalah menjadi tugas dan keistimewaan saya untuk memulakan perbicaraan di mahkamah terhadap bekas seorang perdana menteri yang selama hampir sedekad, menduduki jawatan yang paling berkuasa di negara ini dan mempunyai hampir kuasa mutlak.

"Keistimewaan seperti itu memikul tanggungjawab yang besar, yang pejabat saya berhasrat untuk melaksanakannya bagi membuktikan bahawa tertuduh bersalah atas tujuh pertuduhan yang dihadapinya seperti yang telah dibacakan di hadapan Yang Arif.

"Tertuduh sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri yang kesalahan itu dilakukan juga serentak ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan itu menggabungkan kuasa politik maksimum dan mengawal kewangan negara," katanya di Mahkamah Tinggi, di Kuala Lumpur hari ini.

Thomas berkata selaku memegang jawatan Perdana Menteri dan sebagai pegawai awam tertinggi yang dipilih dan ketua kerajaan, rakyat meletakkan kepercayaan tertinggi kepada tertuduh.

Dalam keadaan sedemikian, undang-undang itu memperuntukkan standard penjagaan bagi tertuduh melaksanakan tugas dan kewajipannya sebagai pemegang amanah perjawatan awam, katanya.

"Tidak cukup dengan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tertuduh juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Penasihat Emeritus dalam anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd, " kata beliau.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015

Najib yang merupakan perdana menteri Malaysia keenam, adalah perdana menteri pertama berada dalami kandang tertuduh selepas dia diheret ke mahkamah.

Thomas berkata perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah yang pertama daripada banyak lagi pendakwaan berkaitan kleptokrasi 1MDB yang akan dijalankan.

Beliau berkata ciri bersama kedua-dua syarikat (1MDB dan SRC International) adalah bahawa kuasa sebenar untuk mengarah dan mengurus hal ehwal kedua-dua syarikat tidak terletak pada Lembaga Pengarah, sebagaimana dikehendaki oleh undang-undang dan menjadi amalan universal apabila syarikat menjalankan perniagaan, tetapi dalam kes ini, kuasa tersebut terletak pada Najib memandangkan beliau memegang kedua-dua jawatan itu.

"Pelaksanaan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang’ jelas dibuktikan melalui perbicaraan ini. Seorang bekas perdana menteri didakwa di bawah proses sewajarnya di mahkamah di negara ini seperti mana-mana tertuduh yang lain.

"Tertuduh tidak terkecuali daripada undang-undang dan pendakwaan dan perbicaraan ini harus dijadikan duluan bagi semua pemegang jawatan tersebut pada masa depan," kata beliau.

Bagi membuktikan unsur-unsur pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Thomas berkata semua bukti iaitu bukti lisan, bukti dokumen dan bukti berdasarkan keadaan akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan penubuhan SRC International, penubuhan geran RM3 bilion, permintaan SRC International bagi pinjaman kerajaan sebanyak RM3.95 bilion, pelantikan Lembaga Pengarah SRC International, dan pelantikan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.

Thomas berkata pihak pendakwaan juga akan membuktikan perkara yang mendorong kelulusan kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kewangan, pengeluaran jaminan kerajaan RM2 bilion yang memihak kepada SRC International dan mengeluarkan jaminan kerajaan sebanyak RM2 bilion lagi yang memihak kepada SRC International.

Beliau berkata bukti juga akan dikemukakan mengenai wang berjumlah RM42 juta, yang diperoleh daripada SRC International, disalurkan menerusi akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh SRC International) dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (yang dikatakan dilantik sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat SRC International).

"Tertuduh, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012, seperti disebutkan di atas, telah menerima sebagai suapan wang tersebut berjumlah RM42 juta ke dalam akaun AmPrivate Banking-1MY menggunakan nombor akaun 211-202-201188-0 dan akaun AmPrivate Banking-MY menggunakan nombor akaun 211-202-201190-6,”, kata beliau.

Bagi pertuduhan pecah amanah jenayah, Thomas berkata pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dan Penasihat Emeritus SRC International, yang diamanahkan dengan wang milik SRC International, telah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta milik SRC International.

Bukti akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa usul khas telah dilulukan untuk meminda Tataurusan Persatuan Syarikat SRC International untuk melantik tertuduh sebagai Penasihat Emeritus, katanya.

Sebagai Penasihat Emeritus, tertuduh akan menasihati Lembaga Pengarah mengenai perkara-perkara penting dan perkara kepentingan strategik melibatkan Malaysia, dan bahawa Lembaga hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya dan melaksanakan apa-apa nasihat Penasihat Emeritus demi kepentingan syarikat, " katanya.

Thomas berkata Najib secara tidak jujur telah menyebabkan dirinya mengaut keuntungan sebanyak RM42 juta secara menyalahi undang-undang dan menyebabkan SRC International kehilangan wang sebanyak RM42 juta secara salah dari segi undang-undang.

Beliau berkata jumlah wang itu dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking Najib melalui akaun syarikat Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana antara 24 dan 29 Disember 2014 dan antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga akan menampilkan bukti bahawa Najib terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM42 juta sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, ke dalam akaun AmPrivate Banking.

Beliau berkata bukti juga akan dikemukakan bahawa Najib mengeluarkan sejumlah 15 cek peribadi daripada akaun banknya berjumlah RM10,776,514.00.

"Bukti juga akan menunjukkan bahawa pada Disember 2014, kad kredit tertuduh telah digunakan bagi melunaskan bayaran US$130,625 untuk perbelanjaan di Chanel, butik fesyen eksklusif di Honolulu, Amerika Syarikat" kata Thomas.

Thomas berkata turut akan dibuktikan bahawa cek peribadi yang digunakan, antara lain, bagi pembayaran kerja pengubahsuaian rumah tertuduh di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, kediaman tertuduh di Pekan, Pahang serta kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Tanggungjawab sekarang terletak pada pihak pendakwaan, untuk membuktikan tanpa keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh, Najib Razak bersalah atas pertuduhan jenayah yang dihadapinya pada perbicaraan ini,” kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS