Mahathir: LHDN akan kejar menteri PH, bukan hanya Najib, bekas menteri
PARLIMEN l Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan mendiskriminasi apabila mengejar menteri-menteri yang gagal membayar cukai pendapatan.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa "bukan hanya bekas menteri sahaja” tetapi juga menteri sekarang yang mempunyai tunggakan cukai akan diburu.
“Ya (lebih banyak tindakan pada menteri terdahulu). Namun, bukan saja menteri lalu, menteri sekarang pun akan dikenakan tindakan jika tidak bayar cukai. LHDN akan kejar mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen apabila ditanya sama ada tindakan lanjut akan diambil susulan bekas perdana menteri Najib Razak yang dikenakan notis cukai sebanyak RM1.5 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2017.
Ini termasuk RM2.6 bilion yang didakwa ‘didermakan’ oleh Arab Saudi.
“Kita mendapati semasa era Najib terdapat cukai yang besar telah dikenakan kepada beberapa individu yang terkumpul untuk 10 tahun lalu. Sudah tentu ia tidak sah.
“Kamu tidak boleh mengumpul atau menggunakan kaedah baharu untuk mengira cukai sedangkan individu berkenaan telah membayar cukai mereka mengikut pengakuan awal undang-undang,” katanya.
Pada 2017, Mahathir mendakwa terdapat individu dan perniagaan tertentu yang menjadi sasaran secara tidak adil oleh LHDN dan kerajaan ketika itu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, apa yang dilakukan semasa pemerintahan BN di bawah Najib tidak selari dengan undang-undang.
“Kamu tidak boleh laksanakan kaedah pengiraan baharu cukai, kemudian mengenakan cukai terkumpul kepada mereka.
“Mereka yang dikenakan cukai terkumpul ini juga sudah membayar cukai berdasarkan interpretasi undang-undang sebelum itu,” katanya.





