Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin mendakwa, pelaburan besar badan sukan itu dalam sukan bolasepak tidak mendapat pulangan yang sewajarnya.

Berikutan itu, katanya, FAM menjadi sasaran kritikan dan dipertikaikan kerana mutu bolasepak negara yang tidak meningkat.

"FAM juga mungkin tidak mendapat sokongan dari semua pihak, jadi ia memerlukan idea seperti yang dibuat oleh pasukan MyTeam," katanya dalam program sukan ScoreBoard terbitan TV3 tengah malam tadi.

Khairy merupakan Penerbit Eksekutif Maya Team Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan pasukan MyTeam yang akan menentang pasukan kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Mei ini.

Pemain pasukan MyTeam dipilih secara terbuka di bawah kendalian jurulatih Serbegeth Singh bermula di Johor Bahru esok.

Menurut Khairy, penubuhan pasukan MyTeam adalah bertujuan untuk mengembalikan kesedaran peminat dan mutu bolasepak tempatan supaya setanding dengan negara lain.

Beliau menjelaskan, pemilihan pemain pasukan MyTeam dibuat melalui proses biasa dan bukannya melalui khidmat Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Liga FAM

Mengenai masa depan pasukan MyTeam, beliau berkata, kalau prestasi yang ditunjukkan baik ia boleh diserapkan untuk bertanding di dalam liga anjuran FAM.

"Jika tidak, mungkin beberapa pemainnya boleh disenaraikan untuk mana-mana pasukan bolasepak di negara ini," katanya.

Bercakap dalam program yang sama, jurulatih MyTeam Serbegeth Singh meminta mana-mana pihak supaya jangan bersikap terlalu negatif terhadap MyTeam, tetapi sebaliknya memberi kepercayaan terhadap pasukan tersebut.

Katanya, jika semua orang asyik bersikap mengenai perkara negatif sahaja, tentu tidak akan ada sebarang kejayaan yang akan dicapai.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Ibrahim Saad dalam rakaman temubual untuk program ScoreBoard persatuan itu tidak bimbang dengan penubuhan pasukan MyTeam itu.

Katanya, ini kerana MyTeam adalah sama seperti pasukan bolasepak lain yang bertanding dalam liga bolasepak negara ini.