Badan Peguam Malaysia menyokong gesaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agar siasatan semula dilakukan terhadap kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.

Ini selepas Suhakam membuat kesimpulan bahawa kehilangan kedua-dua individu itu merupakan 'kehilangan paksa'.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Badan Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor juga menggesa kerajaan mengambil serius penemuan panel Suhakam dan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan, demi mencari kebenaran.

"Badan Peguam Malaysia terkejut dengan keputusan sebulat suara dicapai oleh anggota panel Suhakam, bahawa Koh dan Amri menjadi mangsa kehilangan paksa di tangan polis Cawangan Khas Malaysia.

"Keputusan itu adalah satu tuduhan yang berat mengenai kekebalan bahagian tertentu polis (Cawangan Khas), yang istimewa dan dilindungi daripada penelitian dan kebertanggungjawaban," kata Abdul Fareed.

Jelasnya, oenemuan Suhakam juga mendedahkan pelbagai "pembohongan" dan kenyataan bercanggah anggota polis, termasuk bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar.

"Lebih membimbangkan keterangan membabitkan operasi ini oleh Cawangan Khas dengan penyalahgunaan kuasa oleh individu tertentu dalam pihak berkuasa agama Islam negeri, untuk berusaha menonjolkan ancaman Syiah Islam.

"Badan Peguam Malaysia menyokong sepenuhnya cadangan Panel Siasatan, terutamanya penubuhan Pasukan Petugas Khas untuk mengklasifikasikan, membuka dan menyiasat semula kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

"Dan terutamanya untuk meneliti penglibatan polis dalam kehilangan mereka. Pada pandangan kami Pasukan Petugas Khas mesti diberikan kuasa untuk menyiasat perkara ini tanpa halangan," katanya.

Sementara itu, pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia, Shamini Darshni Kaliemuthu berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk menyiasat penemuan Suhakam dengan pantas selepas perkara itu didedahkan semalam.

"Kehilangan paksa kerap digunakan sebagai strategi untuk menimbulkan ketakutan dalam masyarakat. 

"Perasaan tidak selamat dan takut tidak terbatas kepada saudara-mara yang hilang, tetapi juga memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan," katanya.

[Baca berita penuh]