Kematian dua orang pendatang tanpa izin (Pati) di kawasan operasi Rela pada 11 Februari lalu tiada kaitan dengan operasi itu, demikian menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Azmi Khalid hari ini.

Azmi, yang merupakan bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, berkata beliau telah mengarahkan siasatan perkara itu berikutan panggilan telefon daripada British Broadcasting Corporation (BBC) yang meminta beliau mengulas tentang kematian lima orang Pati ketika operasi di Pasar Borong Selayang Baru pada jam 2 pagi 11 Februari lalu dan BBC memaklumkan ada mayat ditemui dengan kecederaan serius sebelum kematian seperti putus tangan dan tercabut gigi.

Menurut laporan BBC dalam segmen News Asia yang disiarkan 15 Februari lalu itu, mayat-mayat Pati ditemui di kawasan lombong berdekatan pasar borong itu dan menuduh Rela menyebabkan kematian itu.

Dalam kenyataan akhbar yang mendedahkan hasil siasatan itu, Azmi menjelaskan bahawa laporan autopsi bertarikh 13 Februari dari Hospital Kuala Lumpur semalam mengesahkan kematian berlaku kira-kira tiga hingga lima hari sebelum 13 Februari, dengan tarikh paling awal kematian pada 10 Februari.

Laporan itu juga mengatakan mayat dalam keadaan cukup sifat tanpa apa-apa kecederaan luaran, manakala pemeriksaan dalaman tidak menunjukkan keretakan pada tulang atau tengkorak.

Menurut laporan Bernama, balai polis Jinjang yang telah menerima aduan tentang kematian itu pada 12 Februari dan menyiasat kes itu telah mengesahkan hanya dua mayat ditemui di kawasan lombong itu.

Azmi berkata serbuan dilakukan di pasar itu selepas aduan orang ramai mengenai kehadiran Pati di kawasan itu yang mengganggu ketenteraman awam.

Beliau berkata operasi itu berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian serius walaupun kelihatan ramai Pati melarikan diri.