Penganjur debat Sekolah Wawasan disiasat
Seorang aktivis pelajar yang cuba menganjur debat isu Sekolah Wawasan antara Menteri Pendidikan dan pergerakan utama pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, disiasat Universiti Teknologi Malaysia.
Pelajar tahun empat universiti itu, Lee Khai Loon, dikehendaki menjelaskan isi kandungan suratnya menjemput menteri itu "kerana ianya telah melibatkan pihak Kementerian Pendidikan."
Lee didapati mengutus surat itu 24 November lalu kepada Tan Sri Musa Mohamad bagi membahaskan isu tersebut dalam program debat terbuka bertajuk "Sejauh Manakah Rasionalnya Penubuhan Sekolah Wawasan" yang dijadualkan Ahad lalu di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
Program ini turut disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis).
Tindakan UTM terhadap pelajar itu diambil selepas pejabat menteri itu dalam satu salinan faksimili telah memaklumkan jemputan Lee itu kepada UTM pada 8 Disember lalu.
Lee, yang juga penyelaras kumpulan pelajar yang dikenali Gabungan Anti-Sekolah Wawasan (GASW) dikehendaki menjawab surat Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang dikeluarkan Isnin lalu dalam tempoh 14 hari.
Apabila dihubungi malaysiakini hari ini, Lee berkata debat itu bertujuan memberikan peluang kepada menteri berkenaan dan Dong Jiao Zong menjelaskan pendirian masing-masing.
Bagaimanapun menurut Lee lagi, dua orang pelajar Universiti Malaya pernah diberitahu oleh seorang pegawai kementerian bahawa GASW dan Gamis bukan dua organisasi yang berdaftar dan menteri tidak bersedia menghadiri program tersebut.
Debat itu tidak dapat diadakan, tambah Lee.
Lee merupakan seorang daripada tiga pelajar yang pernah diberikan surat tunjuk sebab dalam isu pameran kebudayaan sempena sambutan Tahun Baru Cina awal tahun ini. Beliau bagaimanapun tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin berhubung kes itu.
Apabila dihubungi malaysiakini petang ini, Timbalan Naib Canselor HEP Prof Dr Mohd Zulkifli Ghazali enggan memberi sebarang ulasan.
Ditubuhkan bulan lalu, GASW juga menggabungkan pelajar-pelajar Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kolej Tunku Abdul Rahman dan Kolej New Era.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.