Tambang bas sekolah naik 20 peratus dan akan berkuatkuasa sebaik sahaja Jabatan Peguam Negara mewartakan kenaikan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamed Khaled Nordin mengumumkan hari ini.

Beliau berkata sehingga kadar baru itu diwartakan, pengusaha bas sekolah tidak dibenarkan menaikkan tambang.

Kadar baru ini memperlihatkan kenaikan tambang antara RM2.65 dan RM3.50 untuk setiap kilometer pertama dan RM0.25 bagi setiap kilometer atau sebahagiannya di Semenanjung, manakala di Sabah, kenaikannya antara RM4.40 dan RM17.60, katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata peningkatan tambang bas itu adalah berdasarkan analisis keseluruhan faktor dari tahun 2001 dan bukan berdasarkan kepada perkembangan semasa yang melibatkan kenaikan harga petrol dan diesel.

Menurut laporan Bernama, kali terakhir kadar tambang bas sekolah di Semenanjung naik ialah pada 1 Oktober 2001.