Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata kuota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) bagi jawatan menteri dalam Kabinet Persekutuan memang sentiasa satu.

"Kuota bagi PBB memang satu. Dari semasa ke semasa, membabitkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir (Mohamad) atau Perdana Menteri sekarang (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), yang baik budi, yang lebih fleksibel dengan memberi PBB dua jawatan menteri, tetapi atas asas sementara. Anda tahu ini bukan kali pertama, dulu pun kita dapat dua," katanya.

Abdul Taib berkata demikian sebagai merujuk kepada barisan baru Kabinet Persekutuan yang diumumkan Abdullah Selasa lalu, yang menyaksikan pelantikan Datuk Seri Dr Mohd Effendi Norwawi, calon tunggal dari Sarawak dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Mohd Effendi mengangkat sumpah sebagai Senator semalam dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Dalam barisan Kabinet sebelum ini, dua menteri dari Sarawak dilantik iaitu bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Adenan Satem, yang melepaskan jawatan untuk membabitkan secara aktif dalam politik Sarawak, dan bekas Menteri Pelancongan Datuk Dr Leo Michael, yang digugurkan.

Toyad mahu bersara

Menurut Bernama, Abdul Taib berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan Toyad selama kira-kira satu setengah jam di kediamannya di Demak Jaya.

Ia merupakan ulasan pertama Abdul Taib mengenai rombakan Kabinet Persekutuan walaupun beliau telah bertemu Adenan Rabu lalu.

Mengenai Toyad, Abdul Taib berkata bekas menteri pelancongan itu menemui beliau Isnin lalu untuk mendapatkan nasihat.

"Toyad memberitahu saya bahawa beliau mahu bersara sebelum rombakan kabinet dan meminta restu saya untuk menyertai sektor swasta dan saya bersetuju," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Taib berkata kerajaan persekutuan, terutama Perdana Menteri, bersimpati dengan kedudukan Sarawak dan berharap Rancangan Malaysia Kesembilan yang akan dibentangkan di Parlimen 1 Mac ini, dapat membantu negeri itu mengejar kemajuan.

"Kita kemukakan kes kita dan saya rasa setiap kali beliau (Abdullah) datang ke sini dari semasa ke semasa, beliau dapat memberitahu apa yang beliau mahu (lakukan) bagi membantu Sarawak, terutama dalam bidang yang kita perlu tingkatkan lagi," katanya.

Keseluruhannya, Abdul Taib berkata prestasi Sarawak agak baik tanpa masalah besar seperti banjir.