Bekas Menteri Pelancongan Persekutuan Datuk Dr Leo Michael Toyad, yang digugurkan daripada rombakan Kabinet Persekutuan Selasa lalu, mengumumkan persaraannya daripada politik bagi menyertai industri pelancongan di sektor swasta.

Dr Toyad yang telah melibatkan diri dalam politik selama 25 tahun, bagaimanapun berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Mukah sehingga tamat penggal dan tidak akan bertanding semula bagi pada pilihan raya umum akan datang.

Bagi jawatannya sebagai Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), jawatan yang dipegang sejak 1987, Dr Toyad, yang sebelum itu bertemu dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kediaman Abdul Taib, berkata buat masa ini beliau tiada rancangan untuk meletakkan jawatan dalam parti.

"Jika saya dibenarkan, saya juga mahu bersara daripada jawatan itu (Naib Presiden)," katanya kepada pemberita semalam.

Menurut laporan Bernama, Dr Toyad yang kelihatan tenang, berkata tugas seterusnya bagi beberapa bulan akan datang adalah untuk mendapatkan pengalaman daripada sektor swasta berkenaan pembangunan industri pelancongan.

Mengenai pilihan aya negeri kesembilan tidak lama lagi, Dr Toyad yang juga Pengerusi PBB Bahagian Limbang berkata beliau akan membantu jentera pilihanraya parti.

Tangguh perancangan

Terdahulu ketika membacakan kenyataan akhbar yang disediakan, beliau berkata beliau telah membuat keputusan untuk bersara daripada politik sebelum pilihanraya umum 2004 lagi tetapi diminta untuk menangguhkan perancangannya.

"Hari ini saya kembali ke Sarawak dan akan memainkan peranan baru untuk mengetuai agensi kerajaan yang akan diumumkan Ketua Menteri tidak lama lagi," katanya.

Sebelum dipilih sebagai Anggota Parlimen Mukah pada 1982, Dr Toyad, 55, adalah Pegawai Perubatan Bahagian Sarikei.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dari 1987 sehingga 1995, Timbalan Menteri Luar dari 1995 sehingga 2004 dan Menteri Pelancongan pada April 2004 sehingga 14 Februari lalu.

Di dalam PBB, beliau telah menjadi ahli majlis tertinggi pada tahun 1983 sebelum terpilih ke jawatan sekarang pada tahun 1987.