Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRK RANTAU | Seorang warga emas dikatakan dipaksa menukar baju Harapan kepada baju Bossku di ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau anjuran MIC, kata pemimpin Pemuda PKR.

Naib Ketua Pemuda PKR Thiban Subramaniam mendakwa kejadian semalam itu merupakan provokasi MIC dan juga memalukan keluarga warga emas terbabit yang merupakan penyokong setia PH.

"Saya difahamkan oleh keluarga bahawa warga emas kurang waras kerana faktor usia tinggal di Bandar Ekar, berdekatan tapak yang di mana MIC menganjur ceramah, semalam.

"Ketika beliau cuba melintas di sana, ahli-ahli MIC memperhentikan beliau sebelum memintanya untuk menukar baju baru.

"Selepas beliau dibawa kepada Timbalan Presiden MIC M Saravanan yang berada di sana dan diminta tukar baju Harapan kepada baju lain," kata Thiban kepada pemberita di sidang media di bilik media, Bandar Ekar, Rantau, hari ini.

Turut hadir sidang akhbar ini ialah  S Saravanan, anak menantu warga emas berkenaan yang juga ketua jawatankuasa daerah mengundi Bandar Ekar bersama anaknya N Mariamma dan isteri warga emas itu A Saroja.

"Lebih mengecewakan lagi. MIC merekod seluruh insiden tersebut dan viralkan video tersebut seolah-olah memberi gambaran bahawa warga emas tersebut yang merupakan penyokong PH kini beralih kepada BN dengan memakai baju Bossku.

"Ini adalah satu strategi politik yang sangat jijik dan tidak bertanggungjawab. Beliau berumur 60 tahun dan tidak sedar apa yang berlaku. Beliau balik rumah tidak sedar apa yang berlaku sehingga keluarga melihat video yang diviralkan dan tanya kepadanya," jelas Thiban lagi.

Henti tular video salin baju

Katanya, warga emas itu berada dalam keadaan trauma kerana dimalukan dan diprovokasi oleh MIC sehingga tidak keluar daripada rumah sejak pagi tadi.

Thiban berkata pihak keluarga akan membuat satu laporan polis petang ini.

"Kami Pemuda PKR mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini supaya masing-masing ada medan politik. Masing-masing boleh lawan dengan fakta yang ada dalam kempen ini. Tidak perlulah berkelakuan begini untuk mengheret orang awam.

"Saya bagi pihak keluarga meminta orang awam supaya menghenti tularkan video tersebut kerana ini mungkin akan menjejaskan keselamatan warga emas itu," katanya.

Dalam video berdurasi 1.34 minit itu, warga emas yang dikenali sebagai Nadaraja berusia 60 tahun, berdiri berdekatan Saravanan dengan memakai baju Harapan.

Ketika Saravanan meminta beliau untuk menukar bajunya, beliau membuka baju Harapan sebelum Saravanan menyalinkan baju Bossku kepadanya.

Mengulas lanjut, Thiban menyatakan insiden tersebut sebagai politik sempit dan pemimpin kanan seperti Saravanan perlu lebih professional dalam kempen seperti ini.

"Dia sepatutnya kena tunjuk akhlak dan contoh yang baik kepada jentera beliau supaya tiada pemerasan dan menggunakan provokasi dan sebagainya," katanya.

 

Lihat Komen
ADS