Seramai 35 orang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang, dengan kerjasama anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor dan sukarelawan berjaya menghasilkan mural 1,700 cap tapak tangan hari ini, menerusi program University Community Engagement (UCE) di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pasir Gudang.

Penolong Rektor UiTM Kampus Pasir Gudang, Profesor Madya Ir Bahardin Baharom berkata kesemua mural cap tapak tangan pada dinding PAWE berkenaan dihasilkan sebagai langkah awal ke arah mencapai sasaran mural 100,000 cap tapak tangan oleh seluruh kampus UiTM dalam negara.

“Program UCE ini bertujuan memecahkan rekod penghasilan mural cap tapak tangan paling banyak secara serentak hari ini oleh semua kampus UiTM sekali gus mendapatkan pengiktirafan Malaysian Books of Record (MBOR).

“Mengikut rekod MBOR sebelum ini, mural cap tapak tangan paling banyak yang pernah dihasilkan di negara ini adalah 82,126 cap tapak tangan iaitu pada 2017,” katanya yang ditemui pemberita selepas perasmian UCE di PAWE Pasir Gudang berkenaan, di Johor Bahru hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas JKM Johor Adnan Md Yasin.

Bahardin berkata di Johor, program UCE itu diadakan di enam tempat iaitu tiga di Johor Bahru dan tiga lagi di Segamat merangkumi beberapa PAWE termasuk Pasir Gudang, Pusat Perlindungan Insan Istimewa serta Pusat Dalam Komuniti (PDK) terpilih.

Beliau berkata selain 35 mahasiswa UiTM Pasir Gudang itu, usaha menghasilkan mural cap tapak tangan paling banyak itu turut melibatkan 15 orang sukarelawan Johor dan 20 orang anggota JKM Johor, mulai semalam hingga hari ini.

Katanya selain penghasilan mural, matlamat utama UCE adalah untuk mendekatkan mahasiswa dengan golongan istimewa di PAWE, PDK dan Pusat Perlindungan Insan Istimewa.

- Bernama