Bila Samy Vellu naik angin
Perkembangan menarik minggu ini bermula dengan kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu melahirkan rasa kurang senangnya dengan kecenderungan orang ramai untuk membuat aduan mengenai kementeriannya kepada stesen TV swasta.
Perkembangan menarik minggu ini bermula dengan kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu melahirkan rasa kurang senangnya dengan kecenderungan orang ramai untuk membuat aduan mengenai kementeriannya kepada stesen TV swasta.
Sehari sebelum ini, stesen TV3 menyiarkan masalah di Terowong Menora, Jelapang di Perak yang didakwa oleh orang ramai berlaku rekahan pada bumbung dalamannya. Sebelum ini, media juga menyiarkan laporan yang kritikal mengenai masalah lebuhraya MRR2 yang juga ada kaitan dengan kementerian Samy Vellu.
"Saya fikir saya akan menghentikan amalan ini pada masa depan," katanya sambil meminta orang ramai supaya mengemukakan sebarang aduan atau masalah mereka kepada kementeriannya, beliau sendiri, Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah Kerja Raya.
Beliau turut memberi nombor talian telefon bimbitnya. Akibatnya hampir 3,000 panggilan dan SMS diterimanya. Berikutan itu, jawatankuasa ditubuhkan oleh kementerian itu untuk menerima sebarang rungutan orang ramai bagi menangani masalah mereka.
Dan semalam (17 Febuari) pula kira-kira 20 orang, yang ketuai Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, berhimpun di Taman Desa Jaya, Kepong selama 15 minit mulai jam 2.45 petang berhubung kontroversi keretakan pada Lebuhraya MRR2.
Rombakan kabinet Pak Lah
Berita paling menarik sepanjang minggu ini ialah rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyaksikan dua menteri digugurkan, dua menteri letak jawatan, tiga timbalan menteri digugurkan, dua timbalan menteri naik pangkat dan dua bekas menteri kembali menganggotai semula kabinet.
Menteri yang digugurkan Datuk Shafie Salleh (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Leo Michael Toyad (Menteri Pelancongan). Menteri yang meletakkan jawatan ialah Datuk Adnan Satem (Menteri Sumber Asli dan Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Berdasarkan senarai itu, tiga timbalan menteri turut digugurkan. Mereka ialah Datuk Seri Kerk Choo Ting (Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Asas Tadi), Tengku Putera Tengku Awang (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datuk Mahadzir Mohd Khir (Timbalan Menteri Pendidikan).
Dua timbalan menteri yang dinaikkan pangkat ialah Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin yang dilantik sebagai Menteri Penerangan yang baru, dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Dua bekas menteri yang dilantik semula ialah Datuk Seri Dr Mohd Effendi Norwawi (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansur (Menteri Pelancongan).
Datin Seri Rafidah, Datuk Seri S Samy Vellu dan Datuk Seri Lim Kheng Yaik kekal di kementerian masing-masing.
Menteri yang bertukar kementerian ialah Datuk Azmi Khalid (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri). Tiga muka baru Ahli Parlimen Kemamam, Ahmad Sabry Cheek yang dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Ketua Pemuda MCA pusat, Datuk Liow Tiong Lai (Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan) dan Senator Datuk Dr S Vijayaratnam (Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Perdagangan dan Komoditi).
Mahaleel persoal penjualan Agusta
Pada hari Isnin (13 Februari) bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff sekali lagi mempersoalkan kebijaksanaan Proton menjual pengeluar motosikal Itali MV Agusta Motors pada harga satu euro, sambil menyatakan pengeluar kereta negara itu rugi, sejumlah 75.99 juta euros atau RM348 juta dengan berbuat demikian.
Bercakapd dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur, beliau berkata, proton kerugian 69.999 juta euro jika dicampurkan dengan tambahan bayaran perkhidmatan kepada jururunding dan pentadbir mahkamah Itali kira-kira 6 juta euro.
Katanya, Proton telah membeli pegangan 57.75 peratus dalam MV Agusta pada harga 70 juta euro pada Disember 2004 semasa beliau masih berkhidmat dengan pengeluar kereta negara itu. Tengku Mahaleel bersara dalam 30 September 2005.
Mahaleel juga membidas Proton kerana tidak jawab pertanyaannya dan Penasihat Proton, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penjualan MV Agusta untuk cuma satu euro. Katanya, beliau juga bercakap bagi pihak Dr Mahathir.
Mahathir kecewa dengan SC
Manakala Dr Mahathir pula melahirkan kekecewaan pada hari yang sama, terhadap Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang berdiam diri mengenai isu penjualan MV Agusta pada harga hanya satu euro.
Menurutnya, SC mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan daripada Proton kerana dalam penjualan pembuat motosikal Itali itu, Proton "memberikan hampir RM400 juta dengan hanya begitu sahaja dalam tindakan yang menimbulkan pelbagai persoalan."
Katanya, SC sepatutnya mengkaji perkara ini tetapi sehingga kini tiada ulasan daripada SC, "seolah-olah perkara berkenaan terlalu sensitif sehingga tiada siapa yang boleh mengulas mengenainya."
Guangming Daily digantung dua minggu
Pada hari yang sama (14 Februari) akhbar
Guangming Daily
digantung selama dua minggu berkuatkuasa 16 Februari hingga 1 Mac kerana penyiaran karikatur yang mempersendakan Nabi Muhammad pada 3 Februari dalam edisi petangnya.
Menurut kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tindakan tersebut diambil mengikut subseksyen 6(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Berkuatkuasa 15 Februari, larangan dikeluarkan tehadap percetakan percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang berkaitan isu karikatur, dan yang memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara.
Akhbar tersebut menyiarkan karikatur tersebut pada 3 Februari yang menunjukkan seorang pembaca sedang menatap akhbar asing yang menyiarkan karikatur tersebut. Bagaimanapun, apabila menyedari kesilapan tersebut, sebahagian besar nashkah akhbar tersebut sempat ditarik balik daripada pasaran.
Ezam mahu letak jawatan
Satu lagi perkembangan menarik sepanjang minggu ini ialah keputusan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Ezam Mohd Nor untuk meletakkan jawatannya hujung tahun untuk meninggalkan arena politik menjelang hujung tahun ini.
Katanya, beliau mahu menumpukan perhatian kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang telah ditubuhkannya Gerakan Anti-Korupsi (Gerak) beberapa bulan lalu. Bagaimanapun, katanya, beliau akan kekal sebagai ahli biasa PKR.
Ezam bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk kembali semula ke arena politik apabila situasi bertambah baik bagi parti-parti pembangkang.
Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dinamakan Ezam sebagai penggantinya, sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab memimpin sayap Pemuda PKR itu.
Katanya, beliau akan meneruskan agenda perjuangan yang telah diletakkan Ezam untuk membasmi rasuah dan menegakkan keadilan di negara ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.