Malaysiakini BERITA

Dr M umum keluar Statut Rome elak bercanggah Raja - Anwar

Zikri Kamarulzaman  |  Diterbitkan

Tindakan Putrajaya keluar daripada menyertai perjanjian Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dibuat demi mengelakkan percanggahan dengan Majlis Raja-Raja Melayu, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bercakap pada majlis ceramah malam tadi, Anwar berkata taksiran Putrajaya mengenai statut itu sebagaimana yang dijelaskan peguam negara membawa pengertian ICC tidak akan menghakis kuasa Raja-Raja Melayu.

"Statut Rome kita tafsir ikut peguam negara, tidak jejas kuasa Raja-Raja.

"Tapi Majlis Raja-Raja bersidang, bimbang takut kuasa terjejas.

"Dr Mahathir cakap dengan saya semalam. Bila dapat pendapat macam itu, beliau tak hendak panjang(kan isu) beliau tarik balik (daripada menyertai ICC)," kata Anwar ketika berceramah di Taman Kelab Tunku, Rantau malam tadi.

Pada hari Rabu, Mahathir mengumumkan penarikan Malaysia keluar daripada menyertai Statut Rome, berkata keputusan ini berpunca daripada kekeliruan yang dicipta oleh individu tertentu "yang hendak memukul orang sesuka hati dan melakukan perkara seperti itu" .

Menegaskan penarikan itu dibuat bukan kerana perjanjian tersebut membahayakan negara, Mahathir mendakwa terdapat percubaan untuk melibatkan raja-raja menentang kerajaan serta untuk memburuk-burukkan kerajaan PH dan diri beliau sendiri selaku perdana menteri, menggunakan isu Statut Rome dengan mendakwa kerajaan telah menyerahkan semua kuasa kepada pihak asing.

Menjelaskan lanjut, Anwar berkata langkah itu merupakan tanda hormat kepada Majlis Raja-Raja Melayu, walaupun mereka melihat ICC dengan cara berbeza.

"Kerajaan sudah buat keputusan. Tapi sanggup tolak untuk meredakan keadaan dan untuk tidak mengelirukan.

"Takut ada orang beranggapan kita berbeza pendapat dengan Majlis Raja-Raja Melayu," katanya.

[Baca berita penuh]