Malaysia bakal kehilangan sebutir pingat perak yang dimenangi di Sukan SEA Manila November lalu apabila Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (Philsoc) mendapati ahli karate negara, Rayner Kinsiong, positif bahan dadah `phentermine'.

Ketua kontinjen negara ke temasya di Filipina, Low Beng Choo bagaimanapun berkata keputusan rasmi penarikan balik pingat tersebut akan hanya diketahui pada mesyuarat Lembaga Persekutuan Sukan SEA April depan.

"Philsoc telah menghantar surat kepada saya pada 23 Disember lalu, mengesahkan ujian air kencing Rayner yang dihantar ke Pusat Kawalan Doping di China, didapati positif mengandungi phentermine, sejenis bahan yang mengandungi dadah terlarang.

"Pada mesyuarat bersama Rayner dan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) pada 9 Januari lalu, atlet tersebut mengaku tidak mengambil sebarang bahan terlarang, namun akur kepada sebarang tindakan dari Persatuan Karate Dunia berdasarkan bukti dari Philsoc," kata Beng Choo kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam temasya di Filipina dari 28 November hingga 5 Disember lalu, kontinjen

Malaysia meraih jumlah keseluruhan 175 pingat 61 emas, 49 perak dan 65 gangsa.

Skuad karate menyumbang empat emas, tujuh perak dan empat gangsa.

Menurut laporan Bernama, Beng Choo berkata Rayner, 27, dari Sabah juga enggan ujian dari sample B diadakan bagi mengesahkan keputusan daripada sample A.

Ambil 'slimming tea'

"Berdasarkan penjelasan Rayner, atlet tersebut cuma mengaku mengambil `slimming tea' bagi membolehkannya bertanding dalam kategori 75kg setelah tuan rumah (Filipina) tidak menyenaraikan acara biasanya, kategori bawah 80kg.

"Mungkin dalam proses mengurangkan berat badan dalam usaha layak bertanding dalam acara 75kg, Rayner terambil bahan yang terlarang, yang kemudian didapati mengandungi phentermine," katanya.

Phentermine katanya tidak mempunyai kesan seperti steroid, yang mampu menaikkan prestasi seseorang atlet dalam masa yang singkat tetapi tetap tersenarai sebagai bahan dadah terlarang dalam arena sukan.

Sementara itu ketua jurulatih skuad karate negara P. Arivalagan yang bertanggungjawab melatih Rayner sejak dua tahun lalu berkata, contoh `slimming tea' tersebut telah dihantar ke Makmal Kawalan Dadah Kebangsaan di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang dan didapati negatif dari segi kandungan phentermine.

"Mungkin Rayner ada mengambil bahan lain tanpa pengetahuannya dan bukan setakat `slimming tea'," katanya.

Mengenai tindakan yang akan diambil ke atas Rayner, Arivalagan berkata atlet itu kini berlatih sendiri tanpa pengawasan dari Makaf dan sebarang tindakan akan ditentukan oleh Persekutuan Karate Dunia.

Rayner menganggotai skuad negara sejak 1999 dan mula mengambil bahagian dalam Sukan SEA pertamanya di Kuala Lumpur pada 2001 dengan menyumbang satu emas, 2003 di Vietnam dengan satu perak dan 2005 di Manila, juga dengan satu perak kesemua pingat tersebut menerusi acara bawah 80 kg.