Ahli perniagaan, G Gnanaraja akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok bagi menghadapi beberapa pertuduhan, seminggu selepas dituduh menipu pengarah urusan sebuah syarikat yang dilantik sebagai kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut Pulau Pinang. 

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja berhubung siasatan pengubahan wang haram setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

"Penahanan itu dibuat pada kira-kira pukul 11.40 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini," kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM berkata susulan itu, Gnanaraja akan menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001

Rabu lalu, Gnanaraja dituduh memperdaya Pengarah Urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, sebanyak tiga kali pada 2017.

Ahli perniagaan berusia 38 tahun itu didakwa memperdayakan Zarul untuk mempercayai bahawa dia mempunyai hubungan politik yang mampu membantu menutup siasatan SPRM terhadap pengarah urusan bereknaan.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Februari lepas, SPRM merampas harta dan wang tunai berjumlah RM7.5 juta daripad seorang ahli perniagaan yang didakwa menerima RM19 juta untuk membantu menghentikan siasatan SPRM dalam projek terowong Pulau Pinang.

Ini berikutan surat tuntutan oleh Zenith kepada ahli perniagaan itu untuk menuntut RM19 juta dipulangkan selepas dia didakwa gagal menyiapkan kerja-kerja "perundingan" pada Julai 2017.

Gnanaraja dalam laman webnya menerangkan dirinya sebagai pelakon Malaysia, pengeluar filem, usahawan dan pembicara awam serta mempunyai beberapa kepentingan perniagaan.