Rumah terbuka MCA bukan majlis propaganda parti
Terjemahan Ketua Biro Hal-Ehwal Antarabangsa MCA, Lee Hwa Beng mempertahankan penyertaan Kelab MCA United Kingdom (Mcauck) dalam majlis rumah terbuka anjuran pelajar Malaysia yang menuntut di sana.
Terjemahan Ketua Biro Hal-Ehwal Antarabangsa MCA, Lee Hwa Beng mempertahankan penyertaan Kelab MCA United Kingdom (Mcauck) dalam majlis rumah terbuka anjuran pelajar Malaysia yang menuntut di sana.
Mcauck, yang membantu Jabatan Pelajar Malaysia di United Kingdom (Masduke) menganjurkan majlis tersebut, telah menjadi sasaran kritikan dalam forum melalui internet yang menuduh MCA cuba mengembangkan pengaruhnya di kalangan bakal pengundi.
Lee menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, sambil menambah, Mcauk tidak tertakluk kepada perlembagaan parti itu, dan oleh itu MCA tidak mempunyai sebarang kawalan terhadapnya.
Sebaliknya, kata beliau, kelab-kelab seumpama itu ditubuhkan atas inisiatif penyokong MCA yang tinggal di seberang laut dan ahli-ahlinya tidak semestinya dari MCA.
"Apabila mereka minta hendak menubuhkan kelab, kami tidak boleh kata jangan [...] itu tidak demokratik," katanya ketika dihubungi, sambil menambah bahawa pelajar Malaysia di seberang laut tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Akta tersebut melarang pelajar daripada terbabit dalam aktiviti politik tanpa kebenaran bertulis dari pihak universiti masing-masing.
Jalin muhibbah
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang itu berkata, majlis rumah terbuka itu yang diadakan pada 12 Februari lalu di Malaysia Hall di London sepatutnya dipuji kerana ia dapat menjalin hubungan muhibbah antara rakyat Malaysia di sana.
"Tidak salah apabila kelab itu membantu Masduke menganjurkan rumah terbuka. Duit pembayar cukai digunakan untuk menganjurkan aktiviti, juga untuk pembayar cukai. Apa salahnya? Ada yang tidak kena dengan mereka yang mengkritiknya," katanya.
Menurut Lee lagi, aktiviti seumpama itu boleh menjalin persafahaman yang lebih baik antara pelajar Cina rakyat Malaysia yang merupakan kumpulan majoriti pelajar Malaysia di London, dengan Masduke.
"Para pelajar juga boleh belajar bagaimana hendak memanfaat kehadiran Masduke serta perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh Kedutaaan Malaysia," tambahnya.
'Sedikit sumbangan'
Ditanya mengenai hubungan antara MCA dengan kelab-kelab seumpama itu, Lee berkata, kelab-kelab tersebut biasanya menganjurkan perjumpaan dan perbincangan antaran ahli-ahli mereka dan pelajar dengan pemimpin MCA yang mengadakan lawatan ke sana.
Beliau mengakui bahawa kebiasaannya, pmimpin MCA akan memberi 'sedikit sumbangan' kepada kelab-kelab tersebut untuk membiayai aktiviti mereka.
"Hanya sedikit sahaja, ianya sumbangan peribadi daripada pemimpin MCA, bukannya duit kerajaan," katanya. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.