Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Dr S. Streram menafikan cerita kononnya pengarah kempennya ditahan berkaitan pemasangan gegantung provokasi mengandungi ungkapan berunsur perkauman, di Seremban.

Malah, ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu yang tular di sosial media, pakar bius itu menarik perhatian bahawa pegawainya itu, U Karunesh ada bersamanya, sambil menunjukkan keberadaannya.

"Beliau tidak ditahan, beliau ada bersama saya di sini,” katanya ketika ditemui pada kempen bersama Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Sagga, di Seremban, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau berkata pihaknya telah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk membuat siasatan lanjut.

Mengulas mengenai isu sama, Anwar yang juga Presiden PKR mahu supaya tindakan diambil kepada sesiapa sahaja yang didapati bersalah tidak kira sama ada ia anggota PH sendiri mahupun pembangkang.

Selain kes berkenaan, katanya, polis juga perlu membuka semula siasatan terhadap skandal RM10 juta membabitkan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK berkenaan, Datuk Seri Mohamad Hasan seperti didedah Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar, semalam.

Zulkefly yang juga Yang Dipertua DUN ketika berceramah di Taman Kelab Tunku malam semalam dilapor mempersoal pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang belum mengambil tindakan terhadap bekas Menteri Besar itu mengenai dakwaan kes memindahkan wang RM10 juta ke London melalui pengurup wang pada 2008.

"Tak apa lah, biar polis ambil tindakan, siapa pun tak kisah, termasuk Tok Mat (Mohamad) punya report, ambil actionlah," katanya.

Karunesh dalam pada itu berkata dakwaan terhadapnya itu adalah cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkannya sebagai ahli perniagaan dan anggota politik.

"Kawan-kawan saya hubungi saya tanya apa masalah, saya nak nafikan sekerasnya-kerasnya, janganlah buat fitnah. Buatlah (amalkan) politik sihat, nak bertanding, bertandinglah dengan baik, kalau ada bukti tunjukkan," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Rosli Ishak ketika dihubungi Bernama mengesahkan tiada sebarang tangkapan berhubung isu berkenaan dibuat.

PRK berkenaan menyaksikan persaingan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno dan dua calon Bebas, iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

- Bernama