Bakri: PDRM telah laksana 80 peratus syor Suruhanjaya Diraja Polis
Pasukan Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan kira-kira 80 peratus syor dalam Laporan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar hari ini.
Pasukan Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan kira-kira 80 peratus syor dalam Laporan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar hari ini.
Katanya, syor dalam laporan itu banyak berkisar kepada pada isu hak asasi manusia.
"Laporan setebal 634 muka surat itu mengandungi sebanyak 125 syor kepada kerajaan untuk meningkatkan keupayaan serta menambahbaik perkhidmatan PDRM," katanya ketika merasmikan perayaan jubli perak Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam dekat Bahau.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai; Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Khalid Abu Bakar; dan Komandan Pulapol Air Hitam Supt Che Yussof Che Ngah.
Menurut laporan Bernama, Mohd Bakri berkata, arahan dalam laporan itu banyak menyentuh isu yang berkaitan dengan hak asasi individu yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menggesa semua peringkat pegawai dan anggota memastikan arahan dan ketetapan yang telah dibuat itu, dilaksanakan sepenuhnya.
Hormati suruhanjaya
"Sekiranya kita gagal atau tidak melaksanakan ketetapan ini, kita seolah-olah tidak menghormati bukan sahaja suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan, malah tidak menghormati keputusan kerajaan yang menerima laporan tersebut," katanya.
Sementara itu, Mohd Bakri berkata pengukuhan "sikap, kemahiran dan pengetahuan" dalam modul latihan asas melalui pembinaan sahsiah diri, pemantapan ilmu pengetahuan dan pemantapan fizikal dalam bidang kepolisan merupakan tunjang ke arah kejayaan PDRM masa kini dan masa depan.
Katanya, kerjaya kepolisan adalah satu pekerjaan yang amat murni selagi ianya tidak dicemari oleh sikap tamak, hasad dengki dan malas.
Megenai penubuhan Pulapol Air Hitam yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Pulapah, beliau berkata pada peringkat awal ia beroperasi dalam keadaan serba kekurangan, namun ini tidak melunturkan semangat 30 orang pegawai dan staf yang telah menjadi "poineer" dalam menerokai dan mengubahsuai tempat ini, sehingga berjaya menerima kemasukan 433 orang pelatih pertama untuk Siri 1/1981.
Katanya, sejak 25 tahun penubuhannya Pulapol Air Hitam telah melahirkan seramai 23,672 orang anggota PDRM.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.