Eksekutif jualan didakwa terima suapan sijil tidak bertauliah
Seorang eksekutif jualan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM500 sebagai upah mendapatkan sijil diploma sebuah universiti swasta tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.
C. Vijayakumar, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.
Tertuduh didakwa secara rasuah menerima untuk dirinya suapan tersebut daripada Muhamad Amir Safwan Rusli, sebagai upah untuk mendapatkan sijil Diploma in Business Administration daripada universiti itu atas nama Mohd Amirul Hakim Rusdi tanpa mengikut prosedur pembelajaran yang betul.
Vijayakumar didakwa melakukan kesalahan tersebut di Public Bank Berhad Cawangan Melaka, 931-934 Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya di sini pada 4.39 petang, 19 Jan tahun lepas dan dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta seorang penjamin dan menetapkan esok (9 April) untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.
Pada Khamis lepas (4 April) Vijayakumar dan peniaga Mark Aaron Pious, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan secara bersama, meminta dan menerima rasuah juga berkaitan sijil tidak bertauliah.
- Bernama

