Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menjalankan siasatan terbuka terhadap kes kematian seorang tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, S. Hendry, 18, merumuskan kemungkinan besar lelaki itu membunuh diri.

Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan (foto) berkata, suruhanjaya itu berpuashati dengan siasatan dan maklumat sahih yang diperoleh hasil soal-siasat dan lawatan ke sel Hendry ditempatkan.

"Kemungkinan punca kematian disebabkan membunuh diri adalah sahih. Menurut forensik, kekurangan udara di bahagian tekak Hendry menunjukkan dia membunuh diri sendiri," katanya hari ini.

Hamdan berkata andaian itu dikuatkan lagi berdasarkan kesan bintik-bintik yang timbul pada bahagian pusat hingga ke kaki Hendry yang menunjukkan dia meninggal dunia antara jam 3 dan 5 pagi, setelah dimasukkan ke sel lima jam sebelum itu (jam 10 malam 18 Nov 2005).

Laporan forensik bahawa tiada kecederaan lain pada anggota badan, turut mengukuhkan lagi bahawa punca kematian lelaki itu disebabkan membunuh diri, katanya.

Beliau berkata siasatan itu turut dikukuhkan dengan keterangan beberapa banduan bersebelahan sel Hendry yang terdengar bunyi sepakan antara jam 3 dan 4 pagi, tetapi tiada jeritan meminta pertolongan daripadanya.

Bapa belum puashati

Hamdan berkata siasatan terbuka yang turut disertai dua Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam dan Datuk Muhammad Shafee Abdullah sebagai anggota panel itu, juga merumuskan penjara tidak sepatutnya memasukkan tahanan selepas waktu bekerja, kerana tindakan itu boleh mengundang pelbagai masalah.

Menurut laporan Bernama, pendaftaran masuk Hendry atau banduan lain sepatutnya dilakukan pada waktu pejabat bagi membolehkan pemantauan yang ketat dilakukan, katanya.

"Bapa Hendry dilihat masih tidak berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan, tetapi kita akan sedaya-upaya menjelaskan kepada beliau hasil siasatan yang sahih ini," katanya.

Siasatan terbuka selama dua hari mulai pagi semalam, mendengar keterangan 27 saksi, termasuk Majistret Kajang, ahli Forensik, kakitangan penjara, bapa, adik-beradik dan pakar psikiatri selain mengunjungi sel Hendry bagi membolehkan siasatan dijalankan meliputi pelbagai sudut.

Hendry dari Kajang, Selangor, yang diasingkan daripada tahanan lain, ditemui mati tergantung dengan sehelai selimut di bilik tahanan Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, 19 November 2005.

Mayatnya ditemui warder kira-kira jam 7.30 pagi dan mayatnya dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat.

Bapanya, H. Sreendran menyuarakan rasa tidak berpuas hati terhadap kematian anaknya kerana sebelum itu, Hendry sempat berpesan supaya tidak risaukannya kerana beliau berada dalam keadaan baik.