Empat pegawai berpangkat tinggi Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dikatakan menerima kenaikan gaji dan bonus yang tinggi beberapa bulan menjelang pilihan raya umum lalu.

The Star melaporkan eksekutif berpangkat tinggi dan tiga pegawainya daripada agensi kerajaan itu menerima RM1.25 juta sebagai bonus prestasi individu untuk tahun 2017.

Eksekutif tertinggi itu dilaporkan menerima bonus individu sebanyak RM616,000 bagi tahun 2017, lebih daripada tiga kali ganda yang diterima pada tahun sebelumnya, manakala tiga yang lain menerima RM211,000 sebagai bonus korporat mereka.

"Pada tahun 2017, kakitangan HRDF hanya layak menerima sehingga 5.75 bulan bonus yang terdiri daripada bonus 1.75 bulan korporat dan bonus individu sehingga empat bulan.

"Eksekutif berkenaan dan seorang timbalannya telah meninggalkan HRDF sementara dua lagi timbalannya masih dengan badan itu. Salah seorang daripada mereka telah ditukarkan tetapi masih pegang jawatan tinggi," kata laporan itu.

Laporan itu menambah eksekutif tertinggi berkenaan menerima semakan gaji daripada RM32,000 sebulan kepada RM47,000 dan kepada RM56,000 sebulan - kesemuanya dalam tahun 2017.

Menurut The Star, bekas Menteri Sumber Manusia, Richard Riot Jaem membenarkan pembayaran bonus itu dibuat pada 28 Feb tahun lepas, tanpa memaklumkan kepada jawatankuasa penubuhan dan faedah HRDF (EBC).

Di bawah Akta HRDF, seorang menteri hanya boleh memberikan arahan kepada lembaga itu, dan tidak mendahului lembaga berkenan dalam memberikan kelulusan, kata laporan itu.

HRDF diserbu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkali-kali sejak Januari lalu bagi membantu siasatan terhadap pelbagai kesalahan yang didakwa berlaku dalam agensi itu.

Agensi itu juga dilaporkan telah memperoleh harta tanah di Bangsar South Kuala Lumpur tanpa mendapat kelulusan daripada lembaga pengarahnya.

November lalu, pengganti Jaem, M Kulasegaran mendedahkan sejumlah besar wang agensi itu dialihkan dan disalahgunakan untuk faedah peribadi beberapa individu.