Hubungan dua hala India-Malaysia semakin kukuh dan akan terus berkembang susulan penglibatan aktif dalam pelbagai aspek seperti pertahanan, ekonomi, politik serta pertukaran budaya dan rakyat ke rakyat, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Mridul Kumar.

Menyifatkan hubungan India dan Malaysia kini di tahap terbaik, beliau berkata perkara ini adalah disebabkan hubungan peribadi yang baik antara pemimpin kedua-dua negara serta atas dasar saling melengkapi dan kepentingan bersama.

“Tempoh setahun saya di sini sebagai Pesuruhjaya Tinggi bukan sahaja membuahkan hasil malah amat produktif dan memuaskan bagi saya. Saya positif bahawa pada tahun-tahun akan datang, hubungan dua hala akan bertambah kukuh dan mencapai tahap baharu yang lebih tinggi,” kata Kumar yang mengambil alih jawatan itu pada 15 Feb tahun lepas.

Kumar berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Mengulas kerjasama perdagangan dan ekonomi, Kumar berkata India adalah rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia di mana sasaran nilai perdagangan dua hala sebanyak US$15 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2020 telah dicapai pada 2018/2019.

“Hubungan kita (Malaysia-India) adalah kukuh, jadi saya hanya nampak peningkatan. Tiada isu besar antara kita,” katanya.

Sebagai contoh, Kumar berkata India adalah satu-satunya negara yang baru-baru ini mengurangkan duti ke atas minyak sawit mentah dan bertapis yang dimport dari Malaysia.

Dilaporkan bahawa kerajaan India telah mengurangkan duti import ke atas minyak sawit mentah dan bertapis dari negara-negara Asia Tenggara.

India mengimport 60 peratus - 15.5 juta tan setahun - daripada keperluan minyak masaknya dari Malaysia, Indonesia, Argentina dan Ukraine.

Duti ke atas minyak mentah dari Malaysia, Indonesia dan negara anggota ASEAN lain telah dikurangkan kepada 40 peratus daripada 44 peratus.

Sementara itu, cukai minyak sawit bertapis dikurangkan daripada 54 peratus kepada 45 peratus jika ia datang dari Malaysia, dan 50 peratus jika ia dibeli dari Indonesia atau negara anggota ASEAN yang lain.

Kumar berkata penglibatan antara India dan Malaysia adalah positif, dengan pertukaran tetap di peringkat tinggi antara pemimpin kedua-dua negara.

Beliau berkata dalam tempoh empat tahun lepas, terdapat empat lawatan oleh Ketua Kerajaan kedua-dua negara termasuk kunjungan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia pada 31 Mei tahun lepas.

“Tahun ini, sebaik sahaja pilihan raya berakhir, kita boleh menjangkakan pelawat penting dari Malaysia ke India dan sebaliknya,” katanya.

Pilihan raya umum India dijadualkan berlangsung dalam tujuh fasa dari 11 April hingga 19 Mei tahun ini.

Menyentuh kerjasama pertahanan, Kumar berkata India telah menghantar delegasi terbesar setakat ini untuk mengambil bahagian dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 di Malaysia dari 26 hingga 30 Mac.

India mempamerkan jet pejuang buatannya yang pertama iaitu Light Combat Aircraft Tejas (LCA Tejas) dan melakukan aksi udara serta statik yang mengagumkan.

Tejas disokong oleh pesawat C-130 dan IL-76 milik Tentera Udara India serta kira-kira 90 pegawai, juruterbang dan juruteknik.

India turut menghantar INS KADMATT, sebuah korvet anti-kapal selam yang dibangunkan secara tempatan, untuk mengambil bahagian dalam perarakan armada.

“Kami memberikan kenyataan yang besar kepada Malaysia tentang apa yang kami lakukan secara aktif dalam penglibatan pertahanan,” katanya.

India turut menghantar delegasi terbesar Kementerian Pertahanannya setakat ini ke LIMA.

Antara yang hadir ialah Setiausaha (Pengeluaran Pertahanan) Dr Ajay Kumar, mewakili Menteri Pertahanan India, manakala seorang Laksamana tiga bintang serta Marsyal Udara masing-masing mewakili ketua perkhidmatan mereka iaitu Tentera Laut India dan Tentera Udara India.

Industri pertahanan India yang besar seperti Hindustan Aeronautical Limited (HAL), Defence Research & Development Organisation (DRDO), Goa Shipyard dan BRAMOS Aerospace turut mengambil bahagian serta mempamerkan kehebatan negara itu dalam bidang maritim dan industri aeroangkasa.

- Bernama