Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PH sedang berkudeta sesama sendiri, kata Annuar

PRK RANTAU | Setiausaha Agung Umno Annuar Musa menyangkal dakwaan bahawa BN dan PAS berhasrat melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan.

Sebaliknya, kata Annuar, bukan lagi satu rahsia apabila pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri sedang berusaha untuk menyingkirkan satu sama lain.

"Dia (pemimpin PH) sedang berkudeta sama-sama dia, dia ini sibuk rampas kuasa sama dia, Rafizi (Ramli) kudeta Azmin (Ali), Azmin kudeta Anwar Ibrahim.

"Anwar merancang kudeta Mahathir, Mahathir pula kudeta Lim Kit Siang dan Lim Kit Siang pula kalau boleh dia nak kudeta semua sekali yang ada," kata Annuar kepada lebih 300 hadirin di Taman Kelab Tuanku di Rantau semalam sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau.

Terdahulu Annuar mengulas kenyataan pemimpin PH yang mengatakan keputusan kerajaan menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) baru-baru ini dibuat kerana bimbang rampasan kuasa terhadap perdana menteri.

"Baru-baru ini ada seorang menteri PH kata kononnya cadangan menerima Statut Rom ditarik balik kerana adanya kebimbangan berlakunya kudeta terhadap Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad).

"Ada menteri lain kata kalau nak jatuhkan Mahathir kena langkah mayat dia dulu.

"Tak payah nak Umno BN dan PAS melancarkan kudeta.

"Kita tak perlu kudeta, kita boleh melalui proses demokrasi (seperti PRK) di Cameron Highlands, di Semenyih. Insya Allah, di Rantau juga melalui proses demokrasi boleh tewaskan PH," katanya.

Baru-baru ini Menteri Luar Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa kerajaan yang dipilih rakyat harus dipertahankan daripada "daulah terpendam" atau deep state yang ingin menjatuhkannya melalui cara tidak demokratik.

Saifuddin berkata demikian merujuk kenyataan Mahathir Jumaat lalu bahawa terdapat usaha agar Raja-raja Melayu menandatangani perintah untuk menentang perdana menteri berikutan keputusan kerajaan meratisikasi Statut Rom.

Manakala Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata Malaysia tidak menolak kemungkinan bahawa rampasan kuasa boleh berlaku di negara ini jika orang Melayu terpengaruh dan mempercayai kedudukan mereka dalam bahaya.


Lihat Komen
ADS