Sarjan, lans koperal diberkas SPRM
Tiga individu termasuk dua anggota polis berpangkat sarjan dan lans koperal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan bagi membantu siasatan kes menerima suapan bernilai RM9,700.
Difahamkan kedua-dua anggota polis itu masing-masing berusia 27 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang dan 6.20 petang kelmarin.
Seorang lelaki berusia 45 tahun tersebut pula ditahan pada jam 10.45 malam kelmarin selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM negeri di Kota Bharu.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua anggota polis tersebut menerima wang suapan sebanyak RM9,700 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum.
"SPRM sudah mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu.
"Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM," katanya.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek bermula semalam sehingga 15 April depan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret, Tuan Ruzaini Tuan Lah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Susulan perkembangan kes itu, Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata pihaknya menerima makluman mengenai penahanan dua anggotanya yang bertugas di Pasir Puteh.
"Kita serahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan mereka dan kita juga akan melakukan siasatan dalaman berhubung kes ini," katanya.

