9 lelaki dilarang masuk Filipina dipantau: Bukit Aman
Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memantau sembilan orang lelaki yang dilarang memasuki Filipina selepas didakwa pernah tinggal di Pakistan selama lima bulan.
"Kita masih memantau perkara itu dan setakat ini kita masih belum menerima sebarang maklumat (dari polis Filipina) yang mereka ada melakukan kesalahan," kata Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, Superintendan Benjamin Hasbie.
Beliau yang dihubungi malaysiakini petang tadi turut mengesahkan sembilan lelaki itu rakyat negara ini dan telah kembali.
Akhbar hari ini melaporkan sembilan lelaki itu tidak dibenarkan memasuki Filipina oleh pihak imigresen negara itu.
Ketua Biro Imigresen Lapangan Terbang Mactan, Casimiro Madarang dilaporkan berkata sembilan lelaki itu telah menghabiskan masa lima bulan di Pakistan yang dirasakan cukup untuk menjalani "latihan pengganas".
Sembilan lelaki itu juga didakwa tidak dapat menjelaskan tujuan mereka mahu ke sebuah wilayah di Marawi, Mindanao.
Mereka dipercayai mendarat di lapangan terbang Mactan, Cebu, Khamis lalu menaiki pesawat Penerbangan Malaysia MH 708 dari Kuala Lumpur.
Bantuan sewajarnya
Menyentuh tentang dakwaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) bahawa seorang dari perampas yang disyaki merampas kapal terbang yang telah merempuh Pentagon di Washington DC, pernah dilihat di negara ini, beliau berkata pihak polis akan memberi bantuan sewajarnya jika diperlukan.
"Kita (pihak polis) akan berikan bantuan yang sewajarnya jika diminta oleh pihak Amerika Syarikat melalui Wisma Putra ataupun Interpol," katanya.
Majalah Newsweek keluaran terbaru melaporkan, seorang perampas yang disyaki sebagai Khalid Al-Midhar telah dilihat dalam rakaman satu pita video sulit di Malaysia sedang menemui seorang lelaki yang disyaki oleh pegawai Amerika memainkan peranan dalam serangan Oktober tahun lalu terhadap kapal perang USS Cole di pelabuhan Aden, Yemen.
Menurut laporan majalah itu, FBI telah cuba memburu Khalid dan rakannya Salem Alhamzi dua minggu sebelum mereka didakwa melakukan serangan ke atas AS.
Ditanya mengenai kemungkinan hubungan perampas itu dengan kegiatan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), beliau berkata " Tentang perkara itu saya tidak boleh kata apa-apa selagi kita tidak memperoleh laporan daripada pihak yang berkenaan iaitu dari Amerika melalui Wisma Putra atau Interpol."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.