Paling Popular
Terkini

Polis Kelantan mendedahkan sedang memburu lapan individu paling dikehendaki di negeri itu kerana terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah termasuk kes bunuh.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata, lapan individu tersebut adalah antara 860 orang yang dikehendaki sejak tahun 1967 hingga Mac tahun ini.

"Daerah Kota Bharu menunjukkan jumlah paling banyak iaitu 201 orang diikuti Tumpat seramai 137 orang atas pelbagai kesalahan.

"Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini kita membuat tangkapan seramai 45 individu dan polis memohon jasa orang awam untuk membantu mengesan mereka ini,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, polis bagaimanapun tidak menolak kemungkinan suspek-suspek berkenaan telah melarikan diri serta bersembunyi di negara jiran. 

"Namun, jerat selalunya tidak pernah lupakan pelanduk.

"Mungkin juga ada antara mereka (daripada 860 individu dari tahun 1967) itu yang sudah meninggal dunia dan sebagainya," jelasnya.

Sehubungan itu tambah beliau, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek diharap menghubungi pihak polis dengan kadar segera.


Lihat Komen
ADS