Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Malaysia terlepas peluang keemasan rujuk tragedi MH17 ke ICC'

Malaysia terlepas peluang untuk merujuk tragedi penembakan kapal terbang Malaysia Airlines MH17 ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) apabila menarik diri daripada Statut Rome, kata M Kulasegaran.

Beliau yang merupakan pengerusi Parliamentarians of Global Action (Malaysia) berkata, kerajaan sebelum ini gagal dalam usahanya untuk membolehkan sebuah tribunal antarabangsa diwujudkan untuk menyiasat insiden Julai 2014 itu.

"Kita tak boleh lupa bahawa dengan tidak meratifikasi ICC, kita telah hilang peluang keemasan untuk membangkitkan isu mereka yang terkesan dengan MH17," katanya.

Beliau membangkitkan tindakan Rusia menggunakan undi veto menolak usaha Malaysia dan negara lain untuk mewujudkan tribunal itu, setahun selepas tragedi tersebut.

"Apabila kerajaan pada lima atau enam tahun lalu mengumumkan mereka mahu ke PBB untuk menubuhkan tribunal khas untuk menyiasat MH17, saya katakan keputusannya sudah diketahui.

"Ia tak boleh dilakukan. Sebabnya Rusia adalah anggota (Majlis Keselamatan PBB).

"Apa yang patut dilakukan adalah merujuk perkara itu ke ICC yang ada kepakaran untuk menyiasatnya," katanya lagi, ketika ditemui pemberita di seminar Understanding the Rome Statute System and the International Criminal Court, di Kuala Lumpur hari ini.

Kulasegaran yang juga menteri sumber manusia turut menyampaikan ucap tama untuk seminar itu.

MH17 ditembak di ruang udara Donetsk Oblast, Ukraine pada 17 Julai 2014, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Antara yang terkorban ialah 43 penumpang warga Malaysia, 193 warga Belanda dan 27 warga Australia.

Kulasegaran turut mencadangkan agar kerajaan boleh kembali menimbangkan isu Statut Rome untuk mendapatkan keadilan kepada mereka yang terkesan dengan tragedi itu.

"Saya fikir keadilan untuk (mangsa) MH17 adalah isu berkaitan yang pastinya menyentuh kesedaran ramai orang.

"Kita mungkin tanpa sedar terlepas pandang isu ini, dan saya fikir tidak salah untuk melihat kembali treaty tersebut," katanya lagi.

Katanya lagi, Malaysia juga hilang autoriti moral untuk merujuk jenayah Israel terhadap orang Palestin, serta jenayah terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS