Menteri tarik balik saman terhadap k'jaan
Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof menarik balik dakwaan balas terhadap kerajaan berhubung kes saman RM18 juta terhadap syarikatnya.
"Dakwaan balas anak guam kami berdasarkan pecah amanah rejim sebelum ini.
"Untuk mengekalkan nama baik pentadbiran hari ini dan sebagai pengorbanan untuk kestabilan negara, anak guam kami menarik balik dakwaan balas terhadap Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan kerajaan Malaysia tanpa kebebasan untuk memfailkan semula," kata peguam Su Tiang Joo kepada Malaysiakini melalui e-mel hari ini.
Malaysiakini pada minggu lalu melaporkan bahawa Redzuan, syarikatnya Gagnar Corporation Sdn Bhd dan dua yang lain disaman oleh Bank Pertanian Malaysia Berhad pada 2015 berhubung pinjaman kewangan RM18 juta.
Pinjaman itu, yang disalurkan pada 2011, bertujuan membiayai projek penanaman laut syarikat berkenaan.
Sebagai respons kepada saman sivil itu, Redzuan, Gagnar dan tiga yang lain memfailkan dakwaan balas terhadap bank, menteri kewangan, menteri pertanian dan kerajaan Malaysia.
Dakwaan balas itu menuntut pampasan berbanding yang dituntut bank iaitu RM21 juta.
"(Jumlah kerosakan adalah) dari kerugian yang disebabkan pengurusan kewangan tidak cekap oleh bank dan kegagalan kerajaan lama untuk menunaikan janjinya," kata kenyataan Su sebelum ini.
Redzuan, yang merupakan ahli perniagaan ketika itu, menyertai Bersatu pada 2016. Dia menang kerusi parlimen Alor Gajah pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan seterusnya dilantik menjadi menteri persekutuan.

