Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Menteri Besar Johor Osman Sapian telah meletakkan jawatan semalam, menurut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata Osman menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya semalam, dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Buat sementara waktu, Johor tiada MB. (Mungkin) kita akan lantik sama ada pemangku," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sambil menambah surat kepada Sultan Johor, hanya akan diserahkan sebaik baginda pulang ke tanah air.

“Kita belum menyatakan kenapa beliau berundur tetapi beliau sudahpun berundur. Tiada sebab diberi kenapa beliau berundur," katanya.

Spekulasi pengunduran Osman daripada jawatan itu mula muncul baru-baru ini dan dikuatkan lagi oleh pertemuannya dengan Mahathir.

Setiausaha akhbar Osman, Abdul Hakim Abdul Rahman berkata pertemuan itu sempena Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia.

Bagaimanapun Osman tidak hadir ke program itu yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bekata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah lama membuat keputusan untuk menukar menteri besar.

"Titah untuk tukar menteri besar dah lama. Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan.

"Ke bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking," tulisnya di Twitter hari ini.

Lihat Komen
ADS