Paling Popular
Terkini

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menyarankan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar mencontohi sikap dan tindakan yang dilakukan orang Jepun apabila mendapati maruah mereka tercalar.

Menjawab soalan moderator tentang tindakan kerajaan diterajui Dr Mahathir mahu menandatangani Statut Rom yang disifatkan melanggar perlembagaan, Azam berpendapat kesalahan sebegitu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang perdana menteri yang paling lama memegang jawatan.

“Dari segi moral dan maruahnya, kalau orang Jepun, sepatutnya dah harakiri dah. Jadi, Tun Mahathir sebagai seorang yang berpandangan ke Timur, jadi mungkin dia boleh menyerapkan sikitlah (sikap itu).

“Bukanlah saya nak suruh Tun cucuk perut dia, tapi ambillah apa sifat positif orang Jepun. Bila kamu dah memalukan diri sendiri, maruah kamu dah tercabar, tercalar, maka off lah bateri tu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang hadirin dalam Forum Jelajah Membantah Statut Rom: Mempertahan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur semalam.

Harakiri merujuk kepada amalan membunuh diri dengan menikam atau memburaikan perut dalam masyarakat feudal Jepun terutama di kalangan samurai, apabila mereka mendapat malu atau dihukum mati.

Forum itu turut disertai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam sebagai panelis dan Zaharin Mohd Yasin sebagai moderator.

Sultan Johor murka, AG bohong

Dalam forum tersebut, Azam turut mendakwa Sultan Johor murka kerana dakwanya, Peguam Negara Tommy Thomas berbohong kepada baginda semasa satu pertemuan mereka pada Februari.

Katanya, ketika itu, semasa disoal Sultan tentang Statut Rom, Tommy berkata tidak akan meratifikasi kerana hal itu masih dalam kajian, bagaimanapun kerajaan tiba-tiba menandatanganinya pada 4 Mac.

Susulan itu, Sultan Johor menitahkan sekumpulan empat orang profesor yang pakar dalam undang-undang untuk menyediakan kertas kerja berkaitan Statut Rom dan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, raja-raja tetap mendengar pembentangan daripada kedua-dua belah pihak berkaitan dengan Statut Rom pada mesyuarat tersebut.

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja ini yang rasminya berlangsung hari terakhir. Dua hari sebelum mesyuarat itu akan ada pembentangan kepada baginda raja-raja Melayu.

“Dalam perbincangan berkaitan dengan Statut Rom, selepas pembentangan empat profersor tadi, baginda turut memanggil Tommy Thomas, menteri luar (Saifuddin Abdullah), dan juga Profesor Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi untuk membuat pembentangan serupa bagi menjawab apa yang telah dibentangkan oleh empat orang profesor ini (sebelumnya).

“[...] Ketika Tommy (berada) dalam sesi itu, (secara) depan-depan, Tengku Mahkota Johor bertanya kepada Tommy Thomas, ‘kamu ingat tak hari itu kamu beritahu kepada ayahanda beta bahawa kamu tidak akan meratifikasi Statut Rom ini? Kenapa sekarang kamu ratifikasi?'

“Kamu berbohong!” jelas Azam lagi memetik kata Tengku Mahkota Johor kepada kira-kira 50 peserta yang hadir.

Dalam majlis sama, Azam dan Lokman turut menyampaikan kerisauan mereka terhadap beberapa perkara jika kerajaan tidak menarik diri daripada Statut Rom, termasuk pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan, seperti yang pernah dibangkitkan dalam media sebelum ini.

Malaysia pada awalnya menyertai Statut Rom pada 4 Mac tetapi kemudiannya menarik diri berikutan bantahan daripada beberapa pihak, termasuk kerabat diraja Johor yang mendakwa statut itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana menyentuh kuasa raja-raja dan keistimewaan orang Melayu serta kemuliaan agama Islam di negara ini.

Lihat Komen
ADS