Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah hadapi pertuduhan baru terima rasuah RM5 juta

Isteri kepada bekas perdana menteri Rosmah Mansor menghadapi satu lagi pertuduhan baru iaitu menerima suapan bernilai RM5 juta melibatkan projek kuasa hibrid solar di Sarawak.

Rosmah dituduh menerima wang berkenaan daripada Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings melalui pembantunya, Rizal Mansor.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Rosmah bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi membenarkan ikat jamin RM1 juta untuk dua pertuduhan rasuah sebelum ini digunapakai bagi pertuduhan terbaru itu. 

Beliau menetapkan 10 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, Rosmah yang mengenakan baju kurung dan berselendang serba hijau hari ini tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi.

Beliau diwakili oleh Akberdin Abd Kadir dan Jagjit Singh, manakala pasukan pendakwaraya diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

November lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak dua tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta bagi dirinya melalui Rizal Mansor, 44, suatu suapan, iaitu, wang sejumlah RM187,500,000 yang merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin.

Ia sebagai dorongan untuk untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek berkenaan yang bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe', G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, di Kuala Lumpur antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,500,000 daripada Saidi bagi tujuan sama berkaitan projek serupa di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di Kuala Lumpur pada 7 Sept 2017.

Lihat Komen
ADS