Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin jadi MB atau bubar DUN, kata Umno Johor

Ketua Pembangkang Johor Hasni Mohammad akan mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membincangkan kemungkinan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri baru diadakan.

Hasni yang juga pengerusi Umno Johor berpendapat tiada anggota DUN (Adun) Pakatan Harapan yang layak menjadi menteri besar selain Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin adalah menteri dalam negeri dan juga Adun Gambir. Beliau pernah dilantik sebagai menteri besar di era Umno pada tahun 1986 hingga 1995.

Osman Sapian meletakkan jawatan sebagai menteri besar Isnin lalu.

Hasni memberitahu Malaysiakini, Johor sebuah negeri yang rumit dan tidak boleh mempunyai seorang menteri besar yang tidak berpengalaman.

Justeru, katanya, pemimpin seperti Muhyiddin diperlukan bagi mengetuai kerajaan negeri bagi mengelak perkara yang sama ketika pentadbiran Osman.

"Kecuali orang seperti Muhyiddin mahu kembali, maka kita melihat sedikit cahaya (di hujung terowong).

"Dia masih boleh berkongsi pengalamannya. Johor memerlukan seseorang yang berpengalaman, Johor bukanlah negeri yang mudah untuk diterajui.

"Orang itu harus memahami apa yang berlaku mengenai perkhidmatan awam Johor, memahami perlembagaan negeri. MB (tidak berpengalaman) akan mengambil masa yang lama untuk belajar, mungkin satu atau dua penggal," katanya lagi.

Jais Sarday

Terdahulu, bendahari Umno Johor Jais Sarday turut mencadangkan agar Sultan Ibrahim membubarkan DUN.

Jais mendakwa ini kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim masing-masing mahu meletakkan calon mereka bagi menggantikan Osman.

"Calon Mahathir akan menjadi 'yes man' kepada perdana menteri sedangkan calon Anwar akan menghadapi masalah dengan Putrajaya.

"Berdasarkan perkara itu, saya berpendapat bahawa Sultan boleh membubarkan DUN mengikut Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berharap peralihan kuasa ini akan berlaku secara demokratik.

"Saya ingin mengulangi bahawa Johor adalah medan pertempuran politik paling penting di Semenanjung Malaysia yang menghendaki semua pemimpin politik melaksanakan kepimpinan dan tanggungjawab untuk memastikan kerajaan yang kuat, untuk rakyat dan kepada rakyat," katanya.

Liew juga berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah mengarahkan semua adun Johor dari parti itu agar mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan pusat parti berhubung peralihan kuasa tersebut.


Lihat Komen
ADS