Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Krisis Dr M dan istana Johor perkara biasa, kata PAS

PAS melihat krisis antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pihak istana adalah perkara biasa yang boleh diselesaikan.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semua pihak sedia tahu pendirian Mahathir terhadap istana sekali gus sedikit sebanyak menimbulkan masalah.

"Ia perbezaan padangan antara kerajaan dengan istana. Itu bagi kita perkara biasa, cuma bagaimana kita nak tangani, itu yang penting.

"Kalau semua pihak boleh bertolak-ansur saya rasa boleh selesai, sebab ini lebih kepada perbezaan pandangan," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas isu melibatkan ketegangan antara Mahathir dan pihak istana khususnya dengan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Semalam Malaysiakini melaporkan, perdana menteri menegaskan bahawa tiada siapa di negara ini yang berada di atas undang-undang dan ini termasuk Tunku Ismail.

Menjawab soalan di lobi parlimen, katanya Tunku Ismail bebas menyuarakan pandangannya seperti semua rakyat Malaysia.

"Dia boleh cakap seperti orang biasa, kita anggap dia orang biasa.

"Asalkan dia tidak buat kenyataan yang dianggap hasutan," katanya.

Kenyataan itu kemudiannya disambut Tunku Ismail dengan "mempersilakan" Dr Mahathir mengambil tindakan terhadapnya selepas mengkritik usaha kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom.

"Sila," kata Tunku Ismail di Twitter.

"If i have to go down kerana menegakkan perlembagaan/constitution, raja-raja Malayu, dan Islam.

"Dengan apa-apa cara pun. Kamu tahu di mana hendak cari saya," katanya.

Beliau menulis demikian ketika mengulang tweet Malaysiakini yang melaporkan amaran Mahathir itu.

Sementara itu, Mohd Amar berpendapat dalam konteks isu Status Rom, Mahathir sudah mengambil keputusan baik apabila menghormati pandangan Majlis Raja-raja.

"Jadi satu keputusan yang baik dan tidak sepatutnya perkara ini diperbesarkan lagi, sebab hasrat Majlis-Raja-raja diterima dengan baik oleh perdana menteri.

"Sebab kita tahu Dr Mahathir sejak dulu pendiriannya dengan istana, pendirian dia kita semua tahu. Jadi sedikit sebanyak memang benda itu ada masalah, tapi kita harap dengan pengalaman dan suasana yang ada, perkara seperti ini boleh diselesaikan dengan baik," jelasnya.

Lihat Komen
ADS