Malaysiakini BERITA

Zahid: PAS tak pernah minta MIC bersunat

B Nantha Kumar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK RANTAU | Tampil berkempen untuk calon BN, presiden Umno yang sedang bercuti daripada tugasnya, Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi gigih membela dan mempromosi PAS yang kini menjadi rakan kerjasama pembangkang.

Kata Ahmad Zahid PAS bukanlah parti perkauman seperti yang digambarkan pemimpin PH.

Menjelaskan permusuhan Umno dan PAS selama beberapa dekad sebelum ini, bekas timbalan perdana menteri itu kemudian meletakkan kesalahan tersebut kepada Dr Mahathir Mohamad.

Katanya Mahathirlah orang yang bertanggungjawab mengarahkan Umno berbalah dengan PAS.

"Ini tok (Mahathir) yang minta kita bergaduh tak habis-habis dengan PAS.

"Apabila kita 'cium mulut' dengan PAS, dia khuatir. Cukuplah 60 tahun kita gaduh, kita harus bercantum semula," katanya dalam ceramah sulung di Taman Angsamas, malam tadi.

Ahmad Zahid turut menyentuh pemerintahan PAS di negeri Kelantan bagi membuktikan parti itu tidak bersikap menindas orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Arkitek kerjasama Umno, PAS

"Berapa lama PAS (sudah) perintah Kelantan? Berapa ramai orang Hindu kena bunuh, berapa ramai Cina kena bunuh, berapa ramai kuil kena pecah, berapa banyak patung Budha kena pecah?

"Tidak ada satu pun. Lihat patung Budha terbesar di Malaysia ada di Kelantan," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata PAS juga tidak pernah mendesak parti lain untuk menyerap fahaman parti terbabit.

"Apabila Umno dan PAS, BN dan PAS berkerjasama, Presisen PAS (Abdul Hadi Awang) datang pejabat Presiden MIC (S A Vigneswaran). Presiden MIC (pula) datang pejabat PAS.

"Adakah Ustaz Hadi suruh kamu (MIC) bersunat?" tanya Zahid kepada Naib Presiden MIC, C Sivaaraajh, yang turut hadir di majlis tersebut bersama Naib Ketua Pemuda Umno, Senator Khairul Azwan Harun.


Baca Sikap pemimpin PAS boleh buat ahli 'pening'


"Tak ada, sebab Islam adalah (agama) sejahtera selamat. Insya-Allah dalam waktu terdekat mungkin MCA akan dikunjungi presiden PAS," tegas Zahid lagi.

Untuk rekod hubungan kerjasama erat di antara PAS dan Umno dimulakan secara rasmi oleh Ahmad Zahid dalam satu majlis ceramah di Pasir Salak pada 17 Nov tahun lalu.

Semasa berceramah sepentas dengan Abdul Hadi, Ahmad Zahid menyerukan agar kedua-dua parti terbabit "bercantum". Ketika itu beliau masih lagi bertugas sebagai presiden Umno. 

Bagaimanapun tindakan itu kelihatan kurang disenangi sebahagian pemimpin kanan Umno dan ia sedikit sebanyak menyumbang kepada pengunduran Ahmad Zahid daripada tugasnya bersama Umno dan BN.

Dalam ceramahnya malam tadi anggota parlimen Bagan Datuk itu juga tidak ketinggalan memuji calon BN, Mohamad Hasan, yang kini mengambil alih tugas-tugas presiden Umno.

"Saya arkitek kerjasama Umno-PAS. Saya berterima kasih kepada Tok Mat (Mohamad) yang meneruskan tugas-tugas saya, kerana beliau berbincang dengan PAS, ambil tindakan susulan dengan PAS.

"Jangan termakan dengan cucukan-cucukan mereka yang mahu pecah-belahkan kita. Ini soal ummah. Apabila kita bercakap soal ummah kita tidak tolak bangsa lain. Kita hormati mereka," katanya di hadapan lebih 200 hadirin.