Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Usul gantung Najib kerana bocorkan awal Kertas Putih Felda

Dewan Rakyat hari ini dijangka meluluskan usul menggantung tugas Najib Razak (BN-Pekan) sebagai ahli parlimen selama tiga bulan kerana melakukan suatu perbuatan menghina majlis Dewan Rakyat.

Najib didakwa melanggar embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda dengan memuat naik sebahagian daripada kandungan itu di halaman Facebooknya.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul, usul penggantungan akan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Bahawa pada hari Selasa, 9 April 2019, 5.39 petang, Yang Berhormat Pekan, Najib Razak, mengeluarkan kenyataan dan memaparkan perenggan 1.4.6 dan 1.4.7, muka surat 8, Lampiran 1 - Bab 3, Kertas Putih Ke Arah Kelestarian FELDA di akaun media sosial Facebook beliau ‘Najib Razak’.

“Kertas Putih berkenaan adalah Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga 11.30 pagi, Rabu, 10 April 2019,” katanya.

Menurut usul berkenaan, Dewan Rakyat memandang serius perbuatan Najib yang melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.

“Maka inilah dipersetujui bahawa Pekan (Najib) hendaklah digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen selama tiga bulan," katanya.

Mengikut tatacara dewan, usul berkenaan akan disokong oleh seorang Ahli Parlimen sebelum Speaker mengeluarkan arahan menguatkuasakan perintah penggantungan.

Bekas Perdana Menteri itu tidak hadir sepanjang persidangan dewan semalam.

Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Rakyat akan berakhir hari ini manakala Mesyuarat Kedua dijadualkan bermula pada 1 hingga 18 Julai depan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata beliau telah mengemukakan satu usul supaya Najib Razak dikenakan tindakan keras kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (Felda).

Beliau berkata usul itu telah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pagi tadi.

“Persoalannya, bagaimana seorang bekas perdana menteri boleh melakukan kesalahan begitu, membocorkan dokumen yang di embargo sehingga pagi ini tetapi telah dibocorkan petang semalam.

“Sebab itu awal pagi ini, saya telah kemukakan usul kepada Speaker supaya tindakan keras diambil terhadap Yang Berhormat Pekan. Ini satu kesalahan besar,” katanya ketika menggulung perbahasan Kertas Putih berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) membangkitkan mengenai tindakan Najib melanggar Peraturan Mesyuarat 95A, berhubung dokumen embargo yang tidak boleh disiarkan dengan apa cara sekali pun sebelum dibentangkan.

“Adakah menteri (Mohamed Azmin) sedar beliau (Najib) telah memasukkan sebahagian dokumen embargo ini di Facebook sekitar jam 6 petang semalam,” soal Ahmad Fahmi ketika mencelah penggulungan perbahasan itu.

Mohamed Azmin dalam penggulungan itu turut menjelaskan dakwaan Pinjaman Sara Hidup dan bantuan Pendahuluan Hasil akan dikurangkan daripada RM1,500 kepada RM1,000 adalah tidak benar sama sekali.

“Ini adalah propaganda Umno menjelang (Pilihan Raya Kecil) Rantau. Saya telah umumkan pagi tadi (semasa pembentangan Kertas Putih) kadar sedia ada dikekalkan iaitu RM1,500,” katanya.

Dalam pada itu, Kertas Putih bertujuan memberi penjelasan mengenai isu dihadapi Felda serta pelan pemulihannya yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini kemudian diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat.

Kertas Putih itu antaranya menyatakan kerajaan Pakatan Harapan bersetuju memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion kepada Felda, berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan.

Lihat Komen
ADS