Khutbah: Jangan angkuh dengan kemajuan teknologi
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyeru umat Islam meyakini kekuasaan Allah SWT melebihi kemajuan sains dan teknologi yang dicipta.
Mimbar berkata, ini kerana manusia tidak akan mampu menandingi kekuasaan Allah SWT termasuk mukjizat yang dianugerahkan kepada Rasulullah SAW.
Menurut mimbar, peristiwa Israk dan Mikraj merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah SWT yang diperlihatkan kepada hamba-Nya.
"Sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah di dalam Surah al-Israk dan berdasarkan ayat-ayat tersebut jelas menunjukkan Nabi Muhammad SAW sesungguhnya telah melihat sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang sangat agung.
"Ulama juga bersepakat mengatakan perjalanan agung ini berlaku selepas Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul dan sebelum Baginda SAW berhijrah dari Makkah ke bumi Yathrib.
"Allah SWT telah merakamkan peristiwa Mikraj ketika baginda naik ke langit menerusi firman-Nya dalam Surah al-Najm," teks khutbah itu dipetik.
Surah al-Najm bermaksud "Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril (dalam bentuknya yang asal) pada waktu yang lain (iaitu) di Sidratul Muntaha. Berhampiran dengannya terdapat syurga sebagai tempat tinggal. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya.
"Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang sangat agung".
Kata mimbar, berdasarkan ayat-ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj benar-benar dilalui oleh Rasulullah SAW dengan roh dan jasad baginda, dalam keadaan sedar atau bukan hanya igauan mimpi semata-mata.
Justeru, kata mimbar adalah wajib untuk umat Islam menyakini dengan sepenuh hati bahawa israk dan mikraj adalah benar-benar berlaku kepada Baginda SAW.
"Jelas, Israk dan Mikraj adalah suatu peristiwa agung yang mencabar kemampuan teknologi moden bahkan menjangkaui akal fikiran manusia yang terbatas.
"Justeru, janganlah kita bersikap angkuh dan sombong dengan kemajuan yang kita kecapi pada hari ini padahal ia adalah satu nilai yang sangat kecil di sisi Allah taala.
"Bahkan kita wajar berasa rendah diri dan tawaduk dengan kekuasaan Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya," kata mimbar.
Khutbah yang bertajuk Israk Dan Mikraj Melangkaui Teknologi itu sempena sambutan Israk dan Mikraj.

