Kerajaan timbang perketatkan ceramah
Kerajaan bercadang mengambil langkah tegas terhadap fitnah pembangkang yang disampaikan dalam ceramah-ceramah terbuka, kata seorang timbalan menteri hari ini.
"Sudah sampai masanya kerajaan harus menilai sama ada (ceramah pembangkang) akan membawa masalah lebih besar kepada negara," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung di Dewan Rakyat, menjawab soalan tambahan Ramli Ibrahim (Keadilan-Kota Baru).
Ramli bagaimanapun berkata, pembangkang boleh membezakan antara fitnah dan kenyataan.
Wakil pembangkang itu dalam soalannya meminta kerajaan menjelaskan dasar tertentu yang digunakan kerajaan untuk meluluskan permit apabila permohonan pembangkang sering tidak diluluskan.
Chor menjelaskan tidak ada dasar khusus tetapi kerajaan lebih banyak meluluskan permohonan pembangkang.
"Tujuh puluh peratus ceramah pembangkang diluluskan," jelasnya, daripada 2,814 permohonan itu tahun ini sehingga Oktober lalu.
Chor sebelum itu menjawab soalan asal Datuk Mohd Ali Hassan (BN-Tebrau) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bilangan ceramah terbuka pihak-pihak tertentu yang menfitnah kerajaan dan sama ada ia mendapat kelulusan polis dan tuan rumah berkenaan.
Wakil Umno Johor itu dalam soalan tambahannya turut mencadangkan agar tindakan tegas patut diambil memandangkan pembangkang yang makin mengadakan perhimpunan terbuka dan demonstrasi.
"Sabarlah, kita tidak mahu menyusahkan rakyat jelata," jelas Chor.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.