Paling Popular
Terkini

Selain PAS, satu lagi parti pembangkang Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) menyatakan minat untuk bertanding pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Bagaimanapun, Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), yang sering bertanding di kawasan itu, tidak akan meletakkan calon.

Presiden Star Jeffrey Kitingan berkata pihaknya sedang menimbangkan untuk meletakkan calon namun bergantung kepada perbincangan dengan pakatan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

"Kami menimbangkan untuk bertanding namun beberapa anggota GBS mungkin berminat jadi kami akan berbincang sesama sendiri dan putuskan parti mana yang akan letak calon.

"Kami akan bermesyuarat dalam minggu ini. Saya sudah bercakap dengan mereka dan tunggu mereka putuskan," katanya kepada Malaysiakini.

Difahamkan, Star kemungkinan mencalonkan Liew Wean Chee, iaitu ketua bahagian Star Tanjung Papat. Tanjung Papat merupakan salah satu daripada dua kerusi DUN dalam parlimen Sandakan.

GBS terdiri daripada Star, Parti Bersatu Sabah dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, LDP bertanding di Sandakan, namun ini merupakan kali pertama parti Sabah itu memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi parlimen berkenaan.

Presidennya, Chan Shu Pin berkata, selepas mesyuarat kepimpinan, parti mereka memutuskan untuk memberi laluan kepada DAP yang memenangi kerusi itu sebelum ini.

Dipetik Sin Chew Daily, dia berkata keputusan PRK Sandakan tidak akan mempengaruhi kedudukan kuasa di parlimen.

Maka, kata Chan, tiada keperluan untuk partinya bertanding dan sebaliknya menghormati keputusan pengundi pada PRU tahun lalu.

Menurut data pada 2018, pengundi Sandakan terdiri daripada 51 peratus Cina, 26 peratus bumiputera Sabah, 16 peratus Melayu dan tujuh peratus dari etnik lain.

Kerusi majoriti Cina itu dilihat sebagai kubu kuat DAP.

Malaysiakini difahamkan bahawa DAP Sabah dijangka mencalonkan salah seorang anak perempuan mendiang Stephen Wong untuk mempertahankan kerusi ayahnya.

Vivian Wong, 30, dilihat paling berpeluang untuk dicalonkan, kata sumber.

SPR menetapkan 27 April untuk hari pencalonan dan 11 Mei untuk hari mengundi. Tempoh berkempen adalah 14 hari.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS