Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Macam PAS bertanding di Rantau, kata Hadi
Diterbitkan:  Apr 12, 2019 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

PRK RANTAU | Membayangkan kesungguhan untuk melihat BN menang Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam berkata jentera parti itu di Rantau bertungkus-lumus untuk memenangkan pemangku presiden Umno Mohamad Hasan.

Kata Abdul Hadi beliau sempat meluangkan masa untuk beramah mesra dengan anggota dan penyokong PAS yang berada di Rantau semalam.

"Gerak kerja mereka seolah-olah PAS yang bertanding di sini (Rantau), bertungkus lumus untuk memenangkan calon BN," tulisnya melalui satu hantaran di Facebook malam tadi.

Abdul Hadi berada di Rantau semalam untuk melawat kawasan yang menyaksikan Mohamad cuba mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak beberapa penggal daripada dirampas PH.

PH meletakkan seorang pengamal perubatan Dr S Streram sebagai calon.

Pada PRU ke-14 lalu Mohamad diumum sebagai menang tanpa bertanding di Rantau selepas pegawai pengurus pilihan raya tidak membenarkan Streram masuk ke pusat penamaan bagi menyerahkan borang pencalonan.

Bagaimanapun Streram mencabar keputusan tersebut dan mahkamah pilihan raya kemudian membatalkan kemenangan Mohamad serta mengarahkan pilihan raya diadakan semula.

Kira-kira 20,800 pengundi Rantau yang berdaftar akan memilih wakil rakyat masing-masing esok.

Selain Mohamad dan Streram, dua calon bebas turut menyertai PRK kali ini.

Malam tadi Abdul Hadi dan Mohamad berada sepentas untuk berceramah. Turut berkongsi pentas ialah Timbalan Presiden MIC, T Saravanan dan Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker.

Lihat Komen
ADS