40 ayam mati di S'gor kerana selsema burung
Sebanyak 40 ekor ayam kampung di Batu 4, Jalan Genting-Kelang mati minggu lalu kerana virus avian influenza dan Menteri Pertanian dan Industri Asas, Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkannya sebagai kes terpencil.
Sebanyak 40 ekor ayam kampung di Batu 4, Jalan Genting-Kelang mati minggu lalu kerana virus avian influenza dan Menteri Pertanian dan Industri Asas, Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkannya sebagai kes terpencil.
Beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana tidak ada kematian berlaku yang melibatkan manusia.
"Ujian makmal yang dijalankan oleh Makmal Veterinar Petaling Jaya dan Institut Penyelidikan Haiwan, Ipoh mengesahkan bahawa kematian ayam kampung tersebut disebabkan virus avian influenza H5N1," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Muhyiddin, yang ketika ini berada di Dubai mengetuai misi pelaburan dalam pertanian dan asas tani, berkata kesemua 110 ekor ayam kampung yang terdapat di kawasan tersebut iaitu di empat kawasan penempatan Kampung Pasir Wardieburn, Taman Danau Kota, Pekan Danau Kota dan Kampung Belakang JPJ telah dimusnahkan.
Kenyataan itu sebagai respons kepada laporan online Singapore Straits Times bahawa republik berkenaan menggantung serta-merta pengimportan ayam itik dan telur dari Selangor selepas virus selesema burung H5N1 ditemui pada ayam dalam sebuah kampung di negeri berkenaan.
Kawal penyakit
"Tindakan segera secara bersepadu telah diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Kesihatan untuk mengawal penyakit tersebut daripada merebak," katanya.
Beliau berkata selain memusnahkan kesemua ayam kampung itu, tindakan bersepadu turut merangkumi langkah mengawal dan mengawasi jalan keluar dari kawasan kejadian untuk mengelak ayam kampung daripada dipindahkan.
Katanya tindakan sucihama ke atas semua reban ayam di kawasan kejadian juga dijalankan selain memantau kawasan terlibat dan menjalankan pemantauan terhadap penduduk di kawasan kejadian.
Muhyiddin meminta orang ramai memaklumkan kematian semua jenis unggas dengan bilangan yang banyak kepada pejabat perkhidmatan yang berhampiran.
--

