Laporan polis dibuat terhadap pihak hina Agong
Satu laporan polis telah dibuat oleh Setiausaha Sulit Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Azmi Ali, berkenaan isu menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di ibu pejabat polis (IPD) Putrajaya hari ini.
“Saya telah diarahkan oleh timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk melakukan satu laporan terhadap laman Facebook “Sabah-Sarawak Merdeka”.
“Tujuan laporan ini kerana status tersebut telah menganggu kesejahteraan dan perpaduan rakyat Malaysia dan mahu tindakan dari pihak polis,” katanya menerusi laporan polis yang dipetik.
Terdahulu, laman media sosial tersebut memuatkan hantaran yang menyokong Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia, mendakwa rakyat di dua negeri itu ditindas.
Ia juga mempunyai hantaran dan imej yang menghina Yang di-Pertuan Agong.
Justeru itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Md Farid Md Rafik memandang serius akan tindakan pihak-pihak yang telah mempertikaikan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
“Saya selaku (pihak) bertanggungjawab menjaga portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ini.
“Ini merupakan tindakan yang tidak mencerminkan sikap sebagai seorang warganegara Malaysia dan boleh menggugat keharmonian dan kestabilan kaum,” jelasnya.

