Seludup 6 juta rokok ke Australia, rakyat M'sia dipenjara 4 tahun
GLOBAL | Seorang lelaki Malaysia dikenakan hukuman penjara empat setengah tahun oleh mahkamah Australia pada Rabu lalu kerana cuba menyeludup lebih daripada enam juta rokok ke negara itu.
Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Sempadan Australia (ABF), lelaki terbabit merupakan salah seorang daripada dua pengendali sindiket yang ditangkap pada Ogos 2017 dan didakwa kerana menyeludup rokok.
ABF berkata lelaki itu mengaku bersalah pada bulan November tahun lepas terhadap satu pertuduhan tidak mengisytiharkan mengimport produk tembakau di bawah Akta Kastam 1901 negara itu.
"Pada 10 April 2019, dia dijatuhi hukuman empat setengah tahun penjara kerana menyembunyikan tembakau yang berasal dari Malaysia dengan tujuan mengelak duti import berjumlah lebih daripada AS$ 4 juta (RM11.78 juta)," kata ABF dalam satu kenyataan.
Rakan subahat tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 20 Februari lalu.
Terdahulu, dalam satu kenyataan berasingan, ABF berkata kedua-dua lelaki itu ditangkap ketika mereka cuba melarikan diri dari Australia.
Penangkapan kedua pada bulan Ogos 2017 susulan penangkapan tiga rakyat Malaysia yang membuka bungkusan rokok seludup itu di dalam dua buah kilang, yang telah "disembunyikan dalam tempat simpanan yang canggih."
"Ketiga-tiga mereka kemudiannya ditahan dan didakwa di bawah Akta Kastam 1901 kerana memiliki produk tembakau, walaupun mengetahui barangan itu diimport dengan niat untuk menipu pendapatan.
"Mereka telah disabitkan dan dihukum antara 16-24 bulan penjara kerana penglibatan mereka dalam pengimportan itu," kata ABF.
ABF merupakan sebuah badan pebas di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Australia yang portfolionya antara lain menyelia perkhidmatan kastam serta menyiasat dan menguatkuasakan kes-kes pelanggaran imigresen.

