PAS belum ada hasrat bertanding di Sandakan
Pembangkang masih belum memutuskan siapa akan bertanding untuk merebut kerusi parlimen Sandakan ekoran kematian penyandangnya baru-baru ini.
Hal demikian kerana, PAS menyatakan belum ada cadangan untuk meletakkan calon di kawasan majoriti pengundi Cina di Sabah itu.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata setakat ini belum ada cadangan untuk partinya bertanding di kerusi yang sebelum ini diwakili mendiang Stephen Wong itu.
"Kita (PAS) rasanya tidak ada hasrat untuk meletakkan calon di Sandakan setakat ini," katanya seperti dipetik lidah rasmi parti terbabit, harakahdaily, hari ini.
Bagaimanapun Takiyuddin menjelaskan PAS akan mengadakan pertemuan dengan Umno bagi membincangkan kedudukan PRK berkenaan.
Anggota parlimen Kota Bharu itu dipetik harakahdaily di Rantau malam tadi.
Semalam pemimpin Umno Sabah Bung Moktar Radin mengesahkan mereka tidak akan menurunkan calon untuk bertanding di PRK berkenaan.
Seperti dipetik BH Online, pengerusi Umno Sabah itu bagaimanapun menyatakan pihaknya sedia membantu calon pembangkang, termasuk PAS.
Pada PRU ke-14 lalu Wong memenangi kerusi Sandakan dengan mengalahkan calon Parti Demokratik Liberal (LDP), Lim Ming Ho, dengan kelebihan 10,098 undi.
Untuk rekod daripada lebih 39,000 pengundi berdaftar di Sandakan, 51 peratus ialah Cina, 26 peratus bumiputera Sabah dan hanya 16 peratus Melayu.
Dalam keadaan begitulah Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling menyatakan kesediaan parti itu untuk bertanding dalam PRK yang dijadual berlangsung pada 11 Mei ini.
Penamaan calon ditetapkan pada 27 April ini.
Wong meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

